MPFN Bersetuju Cadangan Keperluan Perancangan Spatial Marin
KUALA LUMPUR, 23 Oktober 2024 – Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-46 bertempat di Bangunan Parlimen petang ini.
MPFN merupakan platform perbincangan penting antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa. Ini adalah selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan di bawah Senarai Bersama dalam Jadual Kesembilan, yang menyenaraikan perancangan bandar dan desa sebagai tanggungjawab bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Majlis ini merupakan majlis tertinggi yang bertanggungjawab ke atas perancangan bandar dan desa di Semenanjung Malaysia.
MPFN Ke-46 telah mempertimbangkan sebanyak tujuh (7) kertas kerja melibatkan lima (5) kertas persetujuan dan dua (2) kertas makluman. Majlis telah bersetuju dengan cadangan Keperluan Perancangan Spatial Marin atau Marine Spatial Planning (MSP) bagi memacu pelaksanaan Ekonomi Biru dan Tadbir Urus Kelautan Negara. Penyediaan MSP yang melibatkan pengezonan aktiviti, fungsi kawasan marin dan pemeliharaan ekosistem serta aset marin negara akan menambah baik tadbir urus kawasan marin secara lebih efektif.

MSP ini telah dilaksanakan oleh 98 daripada 195 buah negara yang mempunyai kawasan marin. Di peringkat Asia Tenggara, Malaysia dan Timor Leste masih belum mempunyai MSP masing-masing. Penyediaan MSP ini akan dilaksanakan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 dan MPFN bersetuju supaya ditubuhkan satu Jawatankuasa Kabinet yang akan diterajui oleh YAB Timbalan Perdana Menteri untuk memantau dan menyelaras penyediaan MSP tersebut.
MPFN Ke-46 juga telah bersetuju agar penyediaan kemudahan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam reka bentuk bangunan diperkasakan melalui pemakaian MS 1184:2014 – Malaysian Standard on Universal Design and Accessibility in the Built Environment: Code of Practice (Second Revision) dan dasar-dasar lain yang berkaitan keperluan penyediaan kemudahan OKU dalam kelulusan Pelan Pembangunan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Hak-hak golongan OKU akan terus dipelihara sesuai dengan keadaan negara yang menuju ke arah negara menua (ageing nation). Penyediaan kemudahan OKU ini akan turut membantu warga emas yang mempunyai limitasi dalam pergerakan.

MPFN Ke-46 turut menggesa agar usaha pewartaan tanah lapang awam disegerakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan semua agensi yang terlibat. Sinergi antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan terus dimantapkan bagi mewujudkan landskap perancangan pembangunan yang holistik demi kesejahteraan rakyat.