
KUALA LUMPUR, 19 September 2024 – YB Dato’ Haji Mohammad Yusof bin Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Robot Tempur Malaysia anjuran Pusat Sains Negara (PSN) dengan kerjasama Hibiscus Petroleum Berhad.
Pertandingan ini diadakan di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur bermula 16 hingga 19 September 2024. Pertandingan yang dianjurkan dengan sokongan penuh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bertujuan untuk menggalakkan penyertaan belia dalam teknologi masa depan dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri robotik global.
Pertandingan Robot Tempur Malaysia 2024 adalah kesinambungan daripada penganjuran Pertandingan Robot Tempur Malaysia yang telah diadakan sebanyak tujuh kali sejak tahun 2013.
Tujuan utama bagi pertandingan ini ialah untuk memperkasa bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) serta memupuk minat generasi muda terhadap STEM melalui pendekatan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna.
Bertemakan “Terus Berjuang” (Keep Fighting), cabaran utama pertandingan ini adalah setiap peserta perlu menghasilkan robot yang berkeupayaan bertempur satu (1) lawan satu (1) dalam gelanggang yang disediakan. Para peserta pertandingan perlu mengaplikasikan ilmu pengetahuan mereka di bidang “wireless technology” dan juga “robot design” dalam penghasilan robot tempur.
Pada tahun ini, PSN memperkenalkan halangan (obstacles) tambahan di dalam gelanggang sebagai cabaran baru buat robot yang bertanding. Halangan ini direka untuk menguji ketahanan dan kebolehan robot dalam situasi yang lebih kompleks.
Justeru itu, pasukan perlu mengatur strategi untuk mempertahankan robot di samping mengalahkan robot lawan. PSN percaya bahawa pembaharuan ini akan dapat meningkatkan kualiti pertandingan dan memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada semua peserta dan penonton.
Sepanjang penganjuran pertandingan ini, PSN telah menerima sebanyak 28 penyertaan pasukan daripada institut pengajian tinggi (IPT), politeknik, Institut Latihan Perindustrian (ILP), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) seluruh negara.
Sejumlah hadiah wang tunai bernilai sehingga RM23,000.00 ditawarkan kepada pasukan yang memenangi pertandingan.
Menurut Pengarah PSN, Mohammad Fuad Rahman, pertandingan ini adalah sebahagian daripada inisiatif PSN untuk mengembangkan bakat tempatan dalam bidang robotik. Melalui acara ini, lebih ramai belia akan lebih berinspirasi serta berinovasi dalam meneroka bidang teknologi robotik, seterusnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara yang berasaskan teknologi.

Pada masa yang sama, MOSTI juga sentiasa menyokong pembangunan teknologi dan inovasi, melihat acara ini sebagai langkah penting dalam membina ekosistem teknologi yang dinamik di Malaysia. Dengan adanya platform seperti ini, negara akan dapat melahirkan lebih ramai profesional dan inovator dalam bidang robotik yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Program ini merupakan kerjasama strategik antara PSN, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Hibiscus Petroleum Berhad yang bersama-sama komited dalam memperkukuhkan agenda pembangunan bakat dan inovasi di Malaysia.
Kerjasama ini bukan sahaja memperlihatkan sokongan padu terhadap pengembangan teknologi tempatan tetapi juga mengukuhkan hubungan antara sektor awam dan swasta dalam mencapai matlamat bersama untuk menjadikan Malaysia sebagai hub inovasi serantau.
Melalui sinergi ini, diharapkan dapat melahirkan lebih ramai inovator muda yang berdaya saing di peringkat global.
Pertandingan ini juga merupakan salah satu inisiatif MOSTI dalam merealisasikan Pelan Halatuju Robotik Kebangsaan 2021 – 2030 bagi pemerkasaan bidang robotik negara.
Ia merupakan salah satu pemerkasaan pembangunan bakat teknikal robotik untuk membekalkan tenaga mahir bagi penggunaan industri. Ini memberi peluang para peserta untuk terus menambah kemahiran dan profesional di dalam bidang robotik dan menyumbang kepada ekonomi negara.
Turut hadir semasa majlis ialah YBrs. Puan Ruziah binti Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), YBrs. Encik Chong Chee Seong, Vice President, Strategic Ventures, Hibiscus Petroleum Berhad dan YBrs. Encik Abdullah bin Daud, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI dan YBrs. Encik Mohammad Fuad bin Rahman Pengarah, Pusat Sains Negara.