
Monsun Timur Laut Bermula 13 November Ini
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran permulaan fasa Monsun Timur Laut (MTL) bermula 13 November.
Menerusi hantaran Malaysian Meteorological Department di Facebook, MTL atau lebih dikenali dengan musim tengkujuh diramal berterusan hingga Mac tahun hadapan.
“Dalam tempoh MTL ini, lima hingga tujuh episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku,” kata MET Malaysia.
Difahamkan, hujan lebat berterusan untuk beberapa hari boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan berhampiran sungai dan berkedudukan rendah.
Selain itu, tiupan angin timur laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan risiko kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar bersiap sedia menghadapi episod hujan lebat MTL dengan sentiasa peka kepada maklumat, nasihat, ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia),” ujar hantaran itu lagi.
Sehubungan itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya memeriksa laman web www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi serta menghubungi talian hotline MET Malaysia di 1-300-22-1638.
