
Momen Bayi Diselamatkan Guna Kotak Plastik Ketika Banjir Runtun Hati Ramai
Baru-baru ini tular satu video memaparkan detik-detik dipercayai penduduk Bandang di Kabupaten Tapanuli Tengah Sumatera Utara cuba menyelamatkan bayi ketika banjir melanda wilayah berkenaan pada Rabu lalu.
Menerusi rakaman yang dikongsikan oleh portal Antara news, memaparkan seorang lelaki menjadikan kotak plastik sebagai tempat pelindung sementara bagi bayi berkenaan sebelum diangkat ke tempat yang lebih tinggi menggunakan laluan bahagian atap rumah.
Dalam klip itu turut memperlihatkan keadaan sekitar rumah penduduk yang telah dinaiki air banjir.
Semalam, 32 orang dilaporkan meninggal dunia, manakala ribuan penduduk terpaksa dipindahkan ke lokasi selamat akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda beberapa wilayah di Sumatera Utara, lapor Astro AWANI.
Difahamkan, sekurang-kurangnya 11 daerah dan kota terjejas akibat bencana yang berlaku sejak tiga hari lalu. Antaranya Mandailing Natal, Serdang Bedagai, Humbang Hasundutan, Tapanuli Utara, Tapanuli Tengah, Tapanuli Selatan, Langkat, Pakpak Bharat, Kota Padang Sidempuan, Sibolga dan Gunung Sitoli, menurut KOMPAS.com.
Untuk makluman, Tapanuli Selatan merekodkan jumlah mangsa terkorban tertinggi iaitu 15 orang, diikuti Kota Sibolga (lima orang), Tapanuli Tengah (empat), Humbang Hasundutan (empat), Pakpak Bharat (dua) dan Nias Selatan (satu) serta Kota Padang Sidempuan (satu).
Bencana itu menyebabkan kira-kira 5,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, dengan ratusan dilaporkan rumah rosak.
Sumber: Antara News