
Mohd Shahar Dedah Sisi Lain Bung Moktar, Sentiasa Berzikir Di Dalam Dewan Rakyat
Di sebalik perwatakan tegas dan lantang bersuara, Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Mohd Shahar Abdullah memdedahkan sisi lain Datuk Seri Bung Moktar Radin yang tidak diketahui umum.
Menerusi hantaran di Facebook miliknya, beliau memberitahu Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sering dilihat menggenggam tasbih sewaktu berada di dalam Dewan Rakyat.
“Ramai mengenal ketegasannya, tetapi saya mengenal sisi yang jarang terlihat. Jarinya sentiasa tergenggam tasbih bila berada di dalam dewan.
“Zikir perlahan yang sering melingkari ruang di antara kami, zikir yang tidak kuat, tetapi cukup untuk membuat hati ini merasa damai.
“Itulah bunyi yang kini tinggal sebagai kenangan,” luah Mohd Shahar dalam hantaran itu.
Menurutnya, Allahyarham seorang sahabat yang duduk di sisinya dalam di dewan.
Dalam masa yang sama, Mohd Shahar turut berkongsi momen Bung Moktar sedang membetulkan pinnya sewaktu di dalam dewan.
“Dalam video ini, beliau sedang membetulkan pin saya; satu detik kecil, tetapi penuh makna.
“Begitulah beliau, membantu dalam senyap, hadir dengan ihsan, lebih banyak lembutnya daripada yang dunia sempat tahu.
“Semoga Allah melapangkan perjalanannya, mengampunkan segala salahnya, dan menempatkannya di taman-taman yang tenang.
“Pergimu tidak hilang, hanya berpindah ruang, Zikirmu masih hadir, mengusap relung yang bimbang. Budi yang kau tinggal, menjadi doa yang panjang.
“Semoga damai menjemputmu, dalam kasih Allah yang lapang. Al-Fatihah. Damailah Sahabatku di sana,” tulisnya dalam hantaran itu.
Sumber: Facebook Shahar Abdullah