Atlet lari British, Mohamed Farah atau digelar Mo Farah mendedahkan dirinya pernah diperdagangkan secara haram ke United Kingdom (UK) sewaktu kecil, lapor BBC News.
Menurut bintang Olimpik itu menjelaskan kepada BBC bahawa nama sebenarnya ialah Hussein Abdi Kahin.
Sewaktu kecil, dia memberitahu dirinya pernah diterbangkan dari Djibouti (Afrika Timur) ketika berusia sembilan tahun oleh seorang wanita yang tidak dikenali dan menyuruhnya bekerja sebagai pembantu rumah serta menjaga budak-budak, jelas Mo Farah.
“Selama bertahun-tahun saya terus memendamnya,” kata atlet pasukan Great Britain itu.
Latar Belakang Mo Farah
Mo Farah yang merupakan pelari jarak jauh sebelum ini berkata, dia datang ke UK dari Somalia bersama ibu bapanya sebagai pelarian.
Bagaimanapun, dalam dokumentari bersama BBC dan Red Bull Studios, dia menjelaskan bahawa ibu bapanya tidak pernah menjejakkan kaki ke UK, sebaliknya ibu dan dua abangnya tinggal di ladang keluarga mereka di negeri Somaliland.
Manakala ayahnya pula terbunuh akibat terkena peluru sesat dalam sebuah keganasan awam di Somalia sewaktu beliau berumur empat tahun.
Bagaimanapun, semuanya bermula apabila seorang wanita yang tidak dikenali membawanya bersama dan mengarahkannya untuk memanggil namanya sebagai “Mohamed”.
Tambah Mo Farah, ketika itu, dia diberitahu akan tinggal bersama saudara-maranya yang berada di Eropah, sudah semestinya perkara tersebut membuatkan dia sangat teruja.
Hal ini kerana dia tidak pernah menaiki kapal terbang selama ini, maklumnya.
Farah juga berkata dia melihat wanita terbabit mempunyai dokumen perjalanan palsu yang memaparkan gambarnya dengan tertera nama “Mohammed Farah” di sebelah.
Bagaimanapun, kata-kata itu hanya indah khabar dari rupa apabila wanita berkenaan membawanya ke sebuah rumahnya di Hounslow, London Barat.
“Saya melihat dia mengoyakkan kertas dan membuang ke dalam tong sampah. Ketika itu, saya tahu bahawa berada dalam masalah,” katanya.
Selepas insiden berkenaan, dia terpaksa melakukan kerja rumah dan menjaga kanak-kanak sekiranya mahu mendapat makanan.
Tambah lagi, sekiranya dia mahu berjumpa dengan keluarganya, dia tidak boleh membantah dan berkata apa-apa.
Ekoran itu, dia selalu mengunci dirinya di dalam bilik air sambil menangis, jelas Farah lagi.
Gambar: BBC NewsPendidikan
Sejak beberapa tahun tinggal di UK, keluarga angkatnya melarang Farah pergi ke sekolah. Namun sejak berusia 12 tahun, beliau telah didaftarkan di Tahun 7 di Kolej Komuniti Feltham.
Kakitangan di pusat pendidikan itu telah dimaklumkan bahawa Mo Farah adalah pelarian dari Somalia.
Rakan lama sekelasnya, Sarah Rennie berkata kepada BBC,”Mo Farah datang ke sekolah dalam keadaan selekeh dan diabaikan dengan penguasaan bahasa Inggeris yang rendah berbanding kanak-kanak lain,”
Farah juga menjelaskan bahawa ibu bapanya tidak pernah menghadiri mana-mana majlis bersama.
Gurunya, Alan Watkinson, menyedari perubahan padanya setelah Farah mula menceburi trek olahraga.
“Satu-satunya subjek yang dia lebih kuasai adalah subjek sukan,” kata Watkinson.
Sementara itu, Mo Farah juga berkata, “bidang sukan adalah ‘nyawa’ baginya untuk melarikan diri daripada (situasi hidup) iaitu berlari,”
Dia memberitahu kepada gurunya, Watkinson mengenai masalah yang dihadapi dan latar belakang keluarga (tinggal bersama) bahawa dia dipaksa bekerja.
Permulaan Hidup Mo Farah
Selepas mengetahui perkara tersebut, cikgunya menghubungi perkhidmatan sosial untuk membantu budak terbabit bagi mendapat penjagaan oleh keluarga Somalia yang lain.
Sejak dari itu, dia berkata bahawa semuanya bertambah baik dan masih merindui keluarga sebenarnya.
“Saya rasa seperti banyak beban diangkat dari bahu seperti diri sendiri. Ketika itu diri sebenar Mo Farah muncul,” maklum Mo Farah.
Namanya semakin bersinar selepas mencipta nama sebagai seorang atlet ketika berumur 14 tahun.
Pada waktu itu, dia dijemput untuk bertanding dalam perlumbaan di Latvia bagi mewakili sekolah Inggeris.
Bagaimanapun, dia tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan. Watkinson yang prihatin telah membantunya dengan memohon kewarganegaraan British dengan nama samarannya itu yang diluluskan pada Julai 2000.
Dia juga mahu menceritakan cabaran kisah hidupnya bagi mengubah persepsi orang ramai tentang pemerdagangan manusia.
“Saya tidak mempunyai sebarang idea kerana terdapat ramai orang yang melalui perkara yang sama seperti saya lakukan.
“Apa yang membuatkan saya bertuah berbanding orang lain disebabkan saya mampu berlari,” katanya.
Dalam pada itu, pihak BBC cuba mendapatkan maklum komen daripada wanita yang membawanya ke UK namun tiada sebarang maklum balas.
Menurut Canselor, Nadhim Zahawi, berkata selepas mendapat perjalanan hidup Mo Farah sangat menyayat hati dan memilukan.
Tambahnya lagi yang menjelaskan kepada BBC Breakfast bahawa dia sangat menghormati Mo Farah. Dia menganggap beliau seorang manusia yang luar biasa kerana telah melalui pengalaman pahit dalam hidupnya.
Ia menjadi teladan dan inspirasi yang hebat, jelas Zadhim yang sebelum ini pernah terpaksa meninggalkan Iraq bersama keluarganya pada usia 11 tahun.
Sumber: BBC News