
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperoleh potensi eksport berjumlah RM3.3 bilion hasil daripada Misi Perdagangan & Pelaburan selama tiga hari ke Viet Nam, meliputi Hanoi dan Ho Chi Minh City dari 8 hingga 10 Julai 2024.
Sebanyak empat belas (14) syarikat Viet Nam komited untuk mendapatkan produk Malaysia, termasuk Elektrik & Elektronik (E&E), minyak sawit, bahan kimia dan petrokimia, besi dan keluli, makanan dan minuman, serta barangan pengguna.
Misi ini telah diketuai oleh YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, diiringi oleh pegawai kanan dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Komitmen eksport telah diperoleh daripada pelbagai Pemimpin Industri Viet Nam semasa mesyuarat meja bulat serta mesyuarat empat mata antara syarikat Viet Nam dan Menteri MITI di Ho Chi Minh City pada 10 Julai 2024.
Hasil yang memberangsangkan ini – yang difasilitasi oleh MATRADE – mencerminkan momentum yang semakin meningkat dalam hubungan ekonomi antara Malaysia dan Viet Nam, yang menonjolkan peluang bagi komuniti perniagaan antara kedua-dua negara.

Tengku Zafrul berkata, “Kami gembira dengan potensi eksport RM3.3 bilion daripada misi kami ke Viet Nam. Misi ini juga berfungsi sebagai pemangkin untuk mengembangkan dan memulakan perkongsian strategik antara entiti perniagaan Malaysia dan Viet Nam, di samping mengukuhkan kerjasama dua hala antara dua negara.
Perkara seterusnya adalah untuk memastikan tindakan susulan segera untuk merealisasikan komitmen ini dengan secepat mungkin bagi menyokong pertumbuhan KDNK dan peluang pekerjaan untuk rakyat kita”.
Misi ini juga disusuli dengan agenda lawatan rasmi Menteri MITI dengan pegawai pegawai utama negara tersebut termasuk Perdana Menteri Viet Nam, H.E. Phạm Minh Chính; Menteri Perancangan & Pelaburan, H.E. Nguyen Chi Dzung dan Menteri Perindustrian dan Perdagangan, H.E. Nguyen Hong Dien.
Mesyuarat juga difasilitasi oleh Misi Malaysia di Hanoi, yang diketuai oleh Duta Besar Malaysia ke Viet Nam, H.E. Dato’ Tan Yang Thai.
Tengku Zafrul dan H.E Nguyen Hong Dien turut bersama mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Viet Nam edisi Keempat (JTC ke-4) di Hanoi pada 9 Julai 2024. Dilancarkan pada tahun 2009, JTC Malaysia Viet Nam berfungsi sebagai platform untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan bagi kedua dua negara.

JTC ke-4 memberi tumpuan kepada beberapa penyampaian utama untuk memajukan hubungan ekonomi Malaysia-Viet Nam, termasuk kerjasama dalam Industri Halal, di mana Malaysia akan membantu Viet Nam mengenai standard Halal, penilaian pematuhan dan akreditasi.
Ia juga membincangkan kemungkinan kerjasama dalam Ekonomi Hijau, seperti dalam sektor Kenderaan Elektrik (EV) antara Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan rakan kongsi berpotensi dari sektor awam dan swasta Viet Nam; serta tenaga boleh diperbaharui, terutamanya tenaga angin luar pesisir dan darat.
MITI juga membincangkan topik Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025. Viet Nam menyatakan sokongan mereka kepada Malaysia dalam memacu usaha integrasi ekonomi ASEAN ke tahap yang lebih tinggi melalui Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan semasa tahun penganjuran Malaysia.
Pada tahun 2023, Viet Nam merupakan rakan dagang Malaysia yang ke-11 terbesar manakala Malaysia merupakan rakan dagang Viet Nam yang ke-10 terbesar di seluruh dunia. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Viet Nam adalah USD17.38 bilion (RM79.42 bilion) pada tahun 2023 merentasi pelbagai sektor, termasuk pembuatan, pertanian dan perkhidmatan.

Viet Nam juga merupakan destinasi pelaburan penting bagi Malaysia, terutamanya dalam pembangunan hartanah, utiliti, perkhidmatan kewangan dan pembuatan. Sehingga 2023, syarikat Malaysia melabur dalam 717 projek di Viet Nam dengan nilai pelaburan sebanyak USD13.1 bilion.