rantaian bekalan
Sumber : BERNAMA
Tiada Kategori

MITI Komited Pastikan Rantaian Bekalan Industri Malaysia Kekal Berdaya Tahan 

Nurul Naqiyah

MITI Komited Pastikan Rantaian Bekalan Industri Malaysia Kekal Berdaya Tahan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos 2024 – Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang keenam pada kali ini memberi penekanan kepada “Membina Sekuriti Ekonomi Melalui Rantaian Bekalan Yang Berdaya Tahan”.

Sebagai sebuah negara yang terbuka kepada pelaburan dan perdagangan, Malaysia amat peka dengan gangguan rantaian bekalan yang disebabkan oleh situasi geo-politik global dan bencana alam.

Oleh itu, untuk memastikan ekonomi Malaysia terus berdaya saing, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk memastikan rantaian bekalan industri nasional kekal berdaya tahan dan terjamin apabila berhadapan dengan gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata, “Rantaian bekalan global merupakan talian hayat ekonomi dunia yang saling berkait dan melengkapi antara satu sama lain.

Keselamatan rantaian bekalan bukan sahaja membolehkan aliran barangan, perkhidmatan dan input yang lancar merentasi sempadan, malahan dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran sejagat.

Pandemik COVID 19 merupakan peringatan atau wake-up call yang jelas mendedahkan kelemahan dan seterusnya menyedarkan MITI mengenai peri pentingnya rantaian bekalan industri yang berdaya tahan dan efisien.”

Semua pihak berkepentingan perlu menggunakan pendekatan pelbagai serampang bagi meningkatkan daya tahan rantaian bekalan global.

Kerjasama antara Kerajaan, perniagaan dan organisasi antarabangsa adalah mustahak dalam memudahkan perkongsian maklumat, menyelaras maklum balas dan membangunkan piawaian yang seragam.

rantaian bekalan
Sumber : BERNAMA

Ini termasuk keperluan untuk memanfaatkan teknologi, mempelbagaikan pilihan sumber, memupuk kerjasama serantau dan meningkatkan keupayaan fleksibiliti sebagai strategi utama dalam mengukuhkan rantaian bekalan yang responsif kepada gangguan rantaian.

Pendigitalan memainkan peranan penting dalam mengukuhkan daya tahan dan keselamatan keseluruhan rantaian bekalan, memacu inovasi dan memberi kelebihan daya saing dalam pasaran global yang semakin kompleks.

Dengan memanfaatkan teknologi digital, Malaysia mampu meningkatkan keupayaannya untuk mencegah dan bertindak balas terhadap gangguan, melaksanakan langkah keselamatan yang teguh, dan menyelaraskan operasi untuk kecekapan dan ketangkasan yang lebih tinggi melalui pendigitalan dalam bentuk sistem, aplikasi dan pusat kecemerlangan maya.

Berdasarkan hasil dapatan sesi libat urus MITI bersama industri dan penglibatan kerjasama dua hala serta pelbagai hala yang disertai oleh MITI, terdapat keperluan untuk mewujudkan langkah-langkah pencegahan bagi menghadapi kemungkinan gangguan; responsif terhadap gangguan; ketersediaan menghadapi gangguan; dan pemulihan terhadap gangguan yang dihadapi.

Justeru itu, MPN hari ini memutuskan supaya MITI memulakan inisiatif bagi membangunkan sebuah platform yang dapat meningkatkan kebolehkesanan (traceability); membolehkan capaian berpusat kepada garis panduan; peluang pembiayaan; dan program sokongan termasuk memperkukuh perkongsian ilmu dalam kalangan pemain industri sekaligus menggalakkan inovasi serta kerjasama dalam dan luar negara dalam membina rantaian bekalan yang berdaya tahan.