Di musim wabak pandemik COVID-19 ini menyerang Malaysia, ramai rakyat Malaysia yang tidak dapat keluar untuk bekerja terkesan.
Apabila tidak dapat bekerja, ianya secara tidak langsung akan menjejaskan pendapatan. Dan bila pendapatan terjejas, keperluan harian seperti makanan, ubat-ubatan dan sebagainya tidak dapat dibeli.
Apabila keperluan harian tidak lagi mampu untuk dibeli dan diusahakan sendiri, rata-ratanya pasti akan menjadi buntu dan terdesak memikirkan jalan keluar.
Dan disebabkan buntu itulah, kes bunuh diri pada ketika ini kian meningkat naik.
Namun begitu, baru-baru ini satu kempen yang dikenali sebagai “bendera putih” yang dicetuskan oleh warganet tampak sedikit sebanyak berjaya membantu mereka yang memerlukan dan buntu ini.
Pada orang yang betul-betul memerlukan bantuan, mereka hanya perlu memasang bendera putih di luar rumah mereka sebagai isyarat untuk orang ramai tampil membantu mereka.
Hasil daripada kempen tersebut, ramai orang yang memerlukan bantuan telah mendapat bantuan yang mereka perlukan daripada rakyat Malaysia yang prihatin pada nasib mereka.
Tidak cukup dengan itu, sekumpulan anak muda daripada @TeratoTech telah membangunkan laman web yang dikenali sebagai kitajaga.co hasil daripada idea “bendera putih” ini namun dengan mekanisma yang berbeza.

Pada golongan B40, mungkin dengan mengibarkan bendera putih di rumah mereka tidak akan menimbulkan apa-apa persepsi daripada masyarakat.
Namun bagi golongan M40 yang juga terkesan dengan wabak pandemik ini, mungkin persepsi masyarakat kepada mereka agak berbeza.
Justeru daripada itu, laman sesawang kitajaga.co ini dilihat sebagai satu cara untuk membantu golongan mereka ini.
Juga pada mereka yang mungkin malu untuk memasang bendera putih secara terang-terangan, laman sesawang ini mungkin boleh menjadi penyelesaian tersebut.
Ini kerana laman sesawang ini sangat mudah digunakan.
Sekiranya anda memerlukan bantuan, anda hanya perlu menekan butang “Saya perlu bantuan!” sahaja. Kemudian anda dikehendaki untuk mengisi nama, nombor telefon, memerlukan bantuan apa, dan koordinat tempat tinggal anda sahaja.

Ianya membolehkan orang ramai yang prihatin untuk tampil membantu anda.
Di samping itu, laman sesawang ini juga turut memaparkan lokasi “food bank” yang mungkin terdapat di kawasan berdekatan rumah anda.
Bukan itu sahaja, sekiranya anda ingin menghulurkan bantuan juga, laman sesawang ini juga turut mengalu-alukannya.
Anda hanya cuma perlu klik pada butang yang tertulis “Saya ingin bantu” dan masukkan nama, nombor telefon, alamat serta apakah yang anda ingin hulurkan serta koordinat kawasan anda.

Kemudiannya, lokasi anda itu akan segera dimuat naik di laman sesawang itu untuk diwar-warkan agar orang yang memerlukan bantuan dapat menghubungi anda atau terus bertemu dengan anda.
Laman sesawang ini lantas telah tular dan telah berjaya menarik perhatian ramai warganet yang ingin menghulurkan bantuan.
Justeru daripada itu, orang ramai yang inginkan bantuan atau ingin menghulurkan bantuan, boleh layar laman sesawang kitajaga.co ini.
Sumber: Twitter