
Minta Wang RM100: Tiga Anggota Trafik Direman
Polis menahan tiga anggota polis trafik yang didakwa menerima wang suapan RM100 daripada pasangan pelancong warga asing dalam video tular, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, tiga anggota tersebut berusia dalam lingkungan 37 hingga 42 tahun.
Katanya, tiga anggota dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak itu ditahan bagi membantu siasatan.
“Ketiga-tiga mereka telah direman selama tiga hari bermula hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini.
Kata Yusri berkata, kertas siasatan berkenaan kes itu telah diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Selepas kertas siasatan dilengkapkan, siasatan berkenaan kes ini dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Tambahnya, polis menerusi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard juga akan menjalankan siasatan dalaman bagi anggota-anggota yang terlibat.
“Kita meminta mangsa yang terlibat dalam kes ini untuk tampil memberikan kerjasama kepada polis agar siasatan dapat dilengkapkan dengan kadar segera,” jelasnya.
Menurut Mohd Yusri, selepas video tular di media sosial itu tular, pihaknya mengesan anggota yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Menerusi video berdurasi 50 saat yang tersebar di platform X itu, pasangan pelancong dari United Kingdom tersebut disaman oleh polis trafik kerana didakwa memandu melebihi had laju.
Dalam kejadian di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu, polis berkenaan memberitahu mereka boleh menjelaskan saman RM300 di balai polis berdekatan atau membayar RM100 kepadanya di lokasi itu.
“Satu laporan polis mengenai kejadian itu telah diterima dan siasatan kes dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ipoh.
“Dalam kes ini, kita tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku yang dilakukan mana-mana warga polis,” jelasnya.
BACA: Lambaian Selamat Tinggal Penuh Istiadat Buat Yang Di-Pertuan Agong Ke-16
Sumber: Sinar Harian