
“Minta maaf, saya katakan perlawanan hari ini hanya sekadar persediaan untuk Piala Asia ..” – Petar
Dalam sidang media selepas tamat perlawanan akhir Pestabola Merdeka 2023, pengendali Tajikistan, Petar Segrt menyifatkan perlawanan menentang Malaysia hanya sekadar ‘pemanas badan’ sebelum pasukannya menghadapi saingan Piala Asia di Qatar awal Januari nanti.
Petar menyifatkan perlawanan tersebut penting bagi meningkatkan moral dan mentaliti anak-anak buahnya menjelang kejohanan Piala Asia dan Kelayakan Piala Dunia.
“Minta maaf, saya katakan perlawanan hari ini hanya sekadar persediaan untuk Piala Asia kerana Piala Asia sangat penting untuk Tajikistan berbanding kelayakan Piala Dunia,” ujarnya dalam sidang media tersebut.

Tambah pengendali berusia 57 tahun tersebut, dia turut menyukai kejohanan Pestabola Merdeka berkenaan.
“Tetapi saya juga menyukai piala ini,” katanya lagi.
Memetik Sinar Harian, dua gol yang dijaringkan oleh Soirov Rustam pada minit ke-44 dan Samiev Shahrom pada minit ke-88 sudah cukup membawa skuad Singa Persia itu muncul juara.
Kata Petar, anak-anak buahnya berhak memenangi perlawanan tersebut apatah lagi skuad itu hanya dibarisi dengan purata pemain berumur 21 tahun.
“Rakyat Tajikistan mungkin tidak mengenali pemain yang beraksi di kejohanan ini dan sesiapa pun tidak menyangka kami akan menang.
“Tetapi, kami berhak menang perlawanan ini. Kami bermain tersusun dan berdisiplin sepanjang perlawanan. Ini kejayaan berpasukan dan bukan hasil seorang sahaja,” maklumnya lagi.

Terdahulu, pengendali kelahiran Croatia itu memaklumkan seramai 15 orang tonggak utama terpaksa digugurkan daripada pasukan dalam kejohanan itu. Rata-rata pemain yang dibawa berusia linkungan 21 tahun.
Untuk makluman, Tajikistan muncul juara dalam kejohanan Pestabola Merdeka buat pertama kali dalam penampilan sulung mereka.
Sejak penganjuran Pesta Bola Merdeka bermula tahun 1957 sehingga kini, Malaysia sudah 12 kali menjadi juara diikuti Korea Selatan 11 kali dan Myanmar empat kali. Kejohanan ini antara kejohanan tertua di Asia dan pernah digelar Mini Asia Cup satu ketika dahulu.