
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB Rangsangan Lanjut Untuk PKS Dalam Ekonomi Kreatif
Kuala Lumpur: CIMB Group Holdings Berhad (“CIMB” atau “Kumpulan”) telah melancarkan Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, program baharu yang dijangka merancakkan industri kraf sambil secara aktif menyediakan perusahaan kecil dan sederhana (“PKS”) platform untuk pembangunan menerusi pembelajaran dan peluang jaringan, memanfaatkan usahawan dan pemilik perniagaan dalam industri kreatif dan selanjutnya.
Pelancaran itu telah dirasmikan oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, diiringi oleh Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi CIMB Group dan Datin Azlina Mahmad, Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad.
Novan Amirudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group berkata, “Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mengukuhkan komitmen CIMB untuk memperkasa PKS dengan menyediakan platform yang menyokong penambahbaikan kebolehan, pembinaan jaringan dan penciptaan nilai jangka panjang.
Dengan menyokong keusahawanan dan kraf Malaysia dalam bentuk kontemporari dan warisan, kami mahu membantu perniagaan menjadi mampan sementara memelihara reka seni ini untuk generasi mendatang selari dengan matlamat kami dalam memperkasa pelanggan dan masyarakat atau Advancing Customers and Society.”
Sebagai sebahagian daripada Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, siri sesi jaringan turut meliputi program Saudagar CIMB untuk PKS dari semua sektor bagi membantu mereka mengasah kemahiran selaku pemilik perniagaan, sementara sesi padanan perniagaan akan menyediakan peluang untuk kerjasama, pembiayaan dan jualan silang.
Kira-kira 300 PKS disasarkan hadir ke program itu. Usahawan berjaya meliputi industri seperti makanan dan minuman, fesyen dan pengurusan hartanah akan berkongsi topik-topik seperti aliran tunai berbanding keuntungan, menguruskan perbelanjaan, penjenamaan sebagai sebahagian daripada perjalanan perniagaan, memanfaatkan pendigitalan dan AI, serta penskalaan dari pengeluaran skala kecil kepada eksport.
Yayasan Hasanah juga akan turut serta memperkenalkan geran perniagaan untuk PKS, manakala panel pakar CIMB pula menyertai sesi itu untuk menyediakan pandangan pakar tentang perniagaan PKS dalam semua peringkat kitaran hidupnya. Cake Piknik, komuniti kek tempatan pula akan menyediakan bengkel membuat kek yang menarik.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mempersembahkan pelbagai jenis hasil kraftangan artisanal dalam variasi medium termasuk tekstil, kayu, kaca, logam serta segenap jenis bahan lain, dilengkapi dengan fesyen Raya yang berwarna-warni oleh bakat terkemuka dan meningkat naik dalam industri.
Lebih 30 butik fesyen dan kraf menyertai acara yang berlangsung selama sebulan ini, mempamerkan bakat kreatif dengan hasil rekaan terbaik dan paling berharga mereka yang dianggap sebagai karya agung atau Masterpieces pada acara berkenaan.

Usahawan kraf termasuk Toko Art, La Putri, Cipela, Earth Heir, Hara Makers, Mah Meri Cultural Village, Kakao Origin dan Aperture Café TTDI. Pengeluar Tenun dan anyaman termasuk Terengganu Songket, Manang Songket, Samyama by John Ang, Tanoti dan MyPride serta pereka fesyen yang mengambil bahagian ialah Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Pink Jambu, Arun Sayfull, Shanell Harun, Tinta Sutera, dan Qudyn Aziz, bersama Kekean Wastra Gallery.
CIMB juga bekerjasama dengan Sime Darby Property bagi menyokong Piala Seri-Ibu Kraf, pertandingan yang mengetengahkan bakat-bakat terbaik dalam seni kraf, di mana pemenang dianugerahkan dalam kategori-kategori seperti Tekstil, Tukang Logam (termasuk perak, gangsa dan tembaga) dan Bukan Logam (termasuk seramik, kaca, kayu dan tembikar).
Di samping itu, terdapat juga Anugerah Inovasi, Anugerah Pilihan Orang Ramai atau People’s Choice Award, dan Anugerah Khas Seri-Ibu yang akan dipilih sendiri oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB juga menyemarakkan semangat Kita Bagi Jadi, gerakan sosial CIMB yang meraikan semangat daya tahan, optimisme dan nilai positif dalam kalangan rakyat Malaysia, ditampilkan oleh PKS yang terus berusaha membangunkan perniagaan sambil menyemai naluri kreatif mereka.
Sempena menyambut Ramadan dan meraikan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, para pengunjung disajikan dengan pilihan menarik dan baharu untuk kelengkapan Hari Raya daripada koleksi yang mewah dan imaginatif sedia untuk jualan.
Dari 1 Februari – 30 April 2026, pemegang kad CIMB boleh menikmati 10% diskaun untuk perbelanjaan minimum RM1,000 dalam satu resit menggunakan mana-mana kad debit, kredit atau prabayar CIMB di semua peniaga kraf dan butik terlibat. Tertaktuk terma dan syarat.
Rakan kerjasama utama CIMB termasuk Sime Darby Property, pengendali dan pemilik KLGCC Mall yang dibuka pada Oktober 2025 lalu, dan Serai Group.
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB dijalankan bermula 4 Februari hingga 1 Mac 2026, daripada 10.00 pagi hingga 10.00 malam di aras 3, KLGCC Mall, Kuala Lumpur. Masuk adalah percuma untuk orang ramai.