
Minah Saleh Bagi ‘Amaran’ Pasal “Street Food” Di Malaysia
Malaysia sememangnya tidak asing sebagai destinasi pilihan pelancong dari seluruh dunia.
Ada yang datang untuk belajar, ada pula yang bekerja. Tidak kurang, ramai juga yang sekadar mahu bercuti seketika, lari daripada kesibukan hidup harian.
Tidak dinafikan, keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyat Malaysia sering menjadi pujian.
Namun, ada satu perkara lain yang hampir pasti membuatkan pelancong jatuh cinta tanpa syarat, iaitu makanan Malaysia.
Bukan sekadar makanan di restoran mewah, tetapi siapa sangka street food di gerai tepi jalan yang murah itulah yang paling mencuri hati.
Baru-baru ini, seorang Minah Saleh mencuri perhatian ramai apabila memuat naik satu video di media sosial.
Kapsyen yang disertakan pula kedengaran seolah-olah ‘menakutkan’, khususnya buat mereka yang belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.
“Jangan makan street food di Malaysa, kecuali kalau anda mahu ini terjadi… anda akan ketagih,” katanya.
Pada awalnya, ramai menyangka dia mahu memberi amaran buruk. Namun, apa yang berlaku selepas itu benar-benar mengundang gelak tawa.
Dalam videonya, wanita tersebut berkongsi bahawa ada seseorang pernah memberikan peringatan sama kepadanya.
Menurutnya, baru kini dia mengerti, amaran itu memang benar. Tapi bukan kerana street food Malaysia berbahaya, tetapi kerana terlalu sedap sampai boleh buat orang ketagih.
Dalam video sama, wanita ini turut memperlihatkan bagaimana keluarga kecilnya sangat menikmati makanan Malaysia. Mereka makan dengan begitu berselera.
Apa yang lebih mencuit hati, pelancong ini secara berseloroh mendakwa makanan lokal Malaysia lebih enak daripada hidangan mahal di restoran mewah.
Katanya, kalau tidak berhati-hati, pelancong boleh ‘jatuh’ dalam perangkap street food Malaysia. Umpama, makan sekali dan susah nak berhenti.
Menjengah ke ruangan komen, netizen Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menambah ‘amaran’ masing-masing. Ada yang kelakar, ada yang sangat boleh relate.
“Bazar Ramadan nanti lagi bahaya… Tunggu dan lihat nanti.”
“Saya nampak seorang TikToker dari Jerman sekarang dah ketagih teh tarik dan burger Ramly.”
“Betul tu… memang bahaya… saya terpaksa tukar seluar dari saiz M ke XL.”
“Setuju, jangan sesekali makan street food di Malaysia, memang ketagih… bila mula, susah nak berhenti.”
“Memang benar… ramai pelancong ketagih, dan bila balik ke negara asal, susah nak jumpa makanan Malaysia dengan rasa asli yang sama.”
BACA: “Kebenaran Yang Orang Malaysia Tak Sedia Nak Dengar…” – Minah Saleh
Sumber: TikTok @thesmithsapprove