MExUnity Umum Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2025 Diadakan Di Pulau Pinang
PUTRAJAYA, 10 Oktober 2024 –YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara telah mempengerusikan Majlis Mesyuarat YB Menteri Perpaduan Negara bersama Exco – Exco Perpaduan Negeri dan Exco – Exco Hal Ehwal Agama Selain Islam (MExUnity) yang kedua bagi tahun 2024.
MExUnity menjadi wadah perbincangan di antara Menteri Perpaduan Negara dan barisan EXCO Kerajaan Negeri untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha ke arah penyatupaduan rakyat melalui program-program berteraskan perpaduan di peringkat kebangsaan dan negeri.
YB Datuk Aaron Ago Dagang merakamkan sekalung penghargaan kepada semua Negeri di atas kerjasama utuh dalam menjayakan Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) 2024. Mesyuarat hari ini juga memutuskan agar SMP 2025 diadakan di Negeri Pulau Pinang.
Sambutan ini bertujuan untuk memupuk perpaduan dan integrasi melalui pendekatan terpilih dan cekap sehingga ke peringkat akar umbi, dengan matlamat untuk mengukuhkan hubungan masyarakat dan memelihara ekosistem perpaduan.
Selain itu, mesyuarat pada kali ini telah memberi fokus kepada perbincangan mengenai Kajian Pembangunan Model Kesepaduan Sosial Sabah dan Sarawak oleh pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS). Kajian ini mendapati tahap kesepaduan sosial di Sabah dan Sarawak berada pada tahap tinggi. Hal ini bermakna, perbezaan etnik, agama dan latar belakang masyarakat di negeri ini bukan faktor penghalang kepada kesepaduan sosial.
Faktor Jarak Sosial (JS) yang dekat dan keakraban hubungan antara individu merupakan faktor dominan yang mempengaruhi kesepaduan sosial. Kedekatan hubungan jarak sosial ini boleh ditafsirkan bahawa sikap penerimaan dan saling percaya masyarakat di negeri ini melangkaui sempadan etnik, agama dan budaya.

Dalam mesyuarat ini juga telah dibentangkan berhubung Kajian Mengenai Kenyataan Berbaur Kebencian di Malaysia oleh pasukan penyelidik dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Di Malaysia, masih belum terdapat kajian khusus untuk mengenal pasti tahap kefahaman, pengaruh dan kesan permasalahan kenyataan berbaur kebencian dalam masyarakat Malaysia. Lantaran itu, kajian ini dilaksanakan secara komprehensif bagi tujuan untuk mengisi kelompangan tersebut.
Kajian ini hanya akan memfokuskan kepada kenyataan berbaur kebencian yang berlaku di Malaysia tanpa melibatkan isu berkaitan dengan kebebasan bersuara. Kenyataan berbaur kebencian di media sosial adalah suatu bahana serius yang memerlukan perhatian bersama dari segenap lapisan masyarakat.
Dengan strategi dan langkah yang komprehensif, serta pelaksanaan yang efektif, masyarakat multi-etnik mampu memperkasa keharmonian sosial dan mengurangkan pengaruh negatif dari kenyataan berbaur kebencian.
Menteri Perpaduan Negara menekankan kepentingan keharmonian rakyat dalam membina sebuah negara yang maju dan sejahtera. Keharmonian dalam kalangan masyarakat bukan sahaja membentuk perpaduan, tetapi juga memastikan kestabilan sosial yang amat diperlukan.
Dalam suasana yang aman, ekonomi dapat berkembang dan taraf hidup rakyat dapat ditingkatkan. Beliau turut menyeru agar barisan EXCO supaya terus menyokong pelaksanaan program-program KPN di peringkat akar umbi bagi menyemarakkan aspirasi perpaduan berteraskan Malaysia MADANI.