
MetMalaysia Tamatkan Amaran Hujan Berterusan Di Pahang, Johor
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini telah mengeluarkan penamatan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa daerah di negeri Pahang dan Johor.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, amaran hujan lebat pada peringkat kuning sebelum ini dikeluarkan untuk daerah Pahang di Rompin, serta Johor di daerah Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru kini ditamatkan.
“Berdasarkan analisis corak model cuaca terkini, didapati keadaan cuaca bertambah baik dan tiada potensi hujan berterusan di Pahang dan Johor.
“Amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan pada 12.10 tengah hari pada 13 Januari untuk kawasan berkenaan dengan ini ditamatkan.
“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui laman web, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi METMalaysia,” memetik kenyataan tersebut.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dijangka berlaku di negeri berkenaan sehingga hari ini.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Bernama melaporkan seramai 1,842 mangsa masih berlindung di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Pahang tengah hari ini berbanding 1,860 mangsa pagi tadi.
Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), jumlah itu meliputi 1,124 orang daripada 319 keluarga yang berlindung di 13 PPS di lima daerah di Johor dan 718 orang daripada 215 keluarga di lima PPS di Pahang.
Di Johor, 606 orang berlindung di empat PPS di Mersing, 254 orang di empat PPS di Kota Tinggi, 153 orang di dua PPS di Kluang, 88 orang di dua PPS di Segamat dan 23 orang di sebuah PPS di Batu Pahat.
Di Pahang pula, 573 mangsa direkodkan masih berada di tiga PPS di Pekan manakala 145 orang berada di dua PPS di Rompin.
Tinjauan situasi status Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai di Johor, Pahang, Perak, Perlis, Kedah dan Terengganu berada pada paras bahaya tengah hari ini.
NADMA turut memaklumkan terdapat 46 jalan ditutup akibat bencana banjir, jambatan rosak dan tanah runtuh antaranya Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi, Johor, Jalan Kuala Mentiga-Terapai di Pekan, Pahang dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun, Terengganu.
Selain itu, NADMA memaklumkan 47 orang daripada 12 keluarga masih berlindung di sebuah PPS di Tawau, Sabah manakala 38 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di sebuah PPS di Kuching, Sarawak ekoran insiden kebakaran.
Sumber: MetMalaysia/Facebook