
METMalaysia Keluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Buruk
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di beberapa kawasan hingga 30 Januari, Khamis ini.
Menurut kenyataan, amaran berkenaan dikeluarkan untuk beberapa kawasan di negeri Sarawak.
“Hujan lebat berterusan dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak seperti Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri),” maklum kenyataan tersebut.
Manakala amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan di beberapa kawasan di Sabah dan Sarawak.
” Di Sabah, hujan berterusan dijangka berlaku di Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat sehingga Rabu ini.
“Manakala beberapa kawasan di Sarawak termasuk Kapit (Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru dan Marudi) diramal hujan hingga Khamis,” maklum METMalaysia.
Penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.
Sumber: Jabatan Meteorologi Malaysia