
METMalaysia Keluarkan Amaran Hujan Berterusan Tahap Bahaya
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap bahaya di beberapa kawasan hingga 31 Januari, Jumaat ini.
Menurut kenyataan, amaran berkenaan dikeluarkan untuk beberapa kawasan di negeri Sarawak.
“Hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di negeri Sarawak di kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sarikei (Meradong), Sibu (Sibu dan Selangau), Mukah, Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis) sehingga Jumaat ini,” maklum kenyataan itu.
Manakala amaran hujan berterusan tahap buruk turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan di negeri Sarawak dan Sabah.
“Di Sarawak, kawasan yang terlibat adalah Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Sarikei dan Julau), Sibu (Kanowit), Kapit (Song dan Kapit), Bintulu (Sebauh) dan Miri (Beluru, Miri dan Marudi).
“Manakala di Sabah melibatkan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat,” tulis kenyataan itu lagi.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan untuk beberapa kawasan di Sabah termasuk Pedalaman (Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran), Tawau (Lahad Datu) dan Sandakan (Tongod).
Penduduk di kawasan yang dinyatakan dinasihatkan supaya berwaspada dengan perubahan cuaca yang mendadak ini dan memastikan keselamatan diri serta keluarga terjamin.
Orang ramai juga dinasihatkan agar mengelakkan aktiviti luar dan sentiasa mengikuti perkembangan terkini mengenai amaran cuaca daripada pihak METMalaysia melalui saluran rasmi.
Langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengurangkan risiko sebarang kejadian tidak diingini akibat cuaca buruk yang diramalkan melanda kawasan-kawasan tersebut.