Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan luruan monsun bakal berlaku minggu ini tepatnya pada 27 hingga 29 Disember 2021. Ramalan cuaca signifikan minggu ini turut dimaklumakan MetMalaysia melalui laman sosial rasmi sebentar tadi.
Menurut MetMalaysia, fenomena luruan monsun ini mungkin menyebabkan hujan berterusan di kawasan Sabah Timur dan Sarawak Barat. Pun begitu, kebarangkalian untuk berlaku hujan berterusan di Pantai Timur Semenanjung adalah rendah berikutan paras kelembapan udara yang rendah.
Angin kencang dan laut bergelora juga diramal berlaku di perairan Laut China Selatan termasuk kawasan Pantai Timur Semenanjung mulai 26 hingga 29 Disember ini.
Untuk makluman, luruan monsun atau monsoon surge adalah angin sejuk dari Siberia yang menyebabkan angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan. Oleh itu, orang awam yang berada di kawasan terlibat diminta berwaspada dan sentiasa peka dengan maklumat terkini.
Sumber: MetMalaysia