Mesyuarat YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Exco-Exco Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2025
PUTRAJAYA, 20 JUN 2025 – YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mempengerusikan Mesyuarat YB Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan EXCO-EXCO Pertanian Negeri Bilangan 1 Tahun 2025 pada 19 Jun 2025. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh YB Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, EXCO-EXCO Pertanian daripada 13 Negeri, wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri, wakil Kementerian Kewangan dan wakil Kementerian Ekonomi serta para pegawai kanan, Ketua Jabatan dan Agensi KPKM.
Agenda mesyuarat kali ini meneliti dan membincangkan sebanyak tujuh (7) pembentangan, iaitu dua (2) Kertas Pertimbangan dan lima (5) Kertas Makluman.

Kertas Pertimbangan yang dibentangkan adalah mengenai Peranan EXCO Negeri dalam menangani Kawasan “Grey Area” di Kawasan Jelapang. Cadangan ini melibatkan pemindahan aset yang tidak jelas pemilikannya kepada tanggungjawab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri atau Daerah, bagi memastikan penyelenggaraan dan pengoperasian pengairan sawah padi dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan. Usaha ini dijangka dapat menyelesaikan isu pertindihan tanggungjawab antara IADA dan JPS, sekali gus memperkemas pengurusan infrastruktur seterusnya dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.
Mesyuarat turut membincangkan cadangan penyerahan rasmi 51 kompleks Ladang Satelit Nasional (LSN) yang dibina oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Negeri Sembilan, Johor dan Perak. Langkah ini bertujuan memudahkan urusan penyewaan dan penyelenggaraan aset tak alih oleh pihak berkuasa negeri secara sah dan teratur. Mesyuarat bersetuju bahawa penyerahan ini dapat menyelesaikan isu pemilikan aset yang tidak jelas, serta membolehkan Kerajaan Negeri mengurus dan menyelenggara aset berkenaan secara lebih sistematik dan berlandaskan undang-undang, demi menjamin kelangsungan operasi penternakan dan kecekapan penggunaan aset sedia ada.

Mesyuarat mengambil maklum akan Dapatan Interim Banci Pertanian 2024 dan Pembangunan Sistem Integrasi Digital Pangkalan Data Pertanian Bersepadu (TaniStats). TaniStats merupakan satu game changer bagi banci pertanian, iaitu satu sistem yang mengandungi pelbagai data daripada semua agensi serta pemain utama dalam sektor pertanian. Kerajaan Negeri disarankan untuk memanfaatkan data tersebut dalam merangka dasar, strategi dan hala tuju pembangunan sektor agromakanan di peringkat negeri secara lebih berfokus dan berimpak tinggi.
Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum mengenai pelaksanaan Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah dengan Kerjasama Kerajaan Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak bagi tahun 2024 dan 2025. Menerusi Bajet 2025, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM300 juta bagi melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan pertanian secara bersama dengan Kerajaan Negeri.

Program ini merangkumi usaha pembaikan, naik taraf dan pelaksanaan aktiviti pertanian di atas tanah yang berada di bawah bidang kuasa bersama antara Kerajaan Negeri dan KPKM. Sehingga 30 Mei 2025, sebanyak 220 projek telah diluluskan melibatkan aktiviti tanaman, ternakan, perikanan, agro-pelancongan serta pembangunan kapasiti petani, peladang, nelayan dan penternak. Mesyuarat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas komitmen dan kerjasama erat dalam memastikan semua projek ini dapat disempurnakan menjelang penghujung tahun.
Mesyuarat turut mengambil maklum tentang cadangan Pindaan Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) dan penggubalan Rang Undang-Undang Kualiti Benih Tanaman 20XX yang bertujuan memperkukuh sistem perlindungan hak pembiak baka serta meningkatkan pengawalseliaan kualiti benih tanaman bagi menyokong pembangunan industri agromakanan negara secara mampan dan berdaya saing.

Seterusnya, mesyuarat mengambil maklum berkenaan keperluan untuk melaksanakan tindakan strategik menangani isu penyeludupan ternakan secara menyeluruh di kawasan sempadan Malaysia – Thailand bagi memastikan sektor ternakan dalam negara bebas daripada ancaman penyakit dan kekal berdaya saing.
Mesyuarat ini berperanan sebagai platform strategik penyelarasan dasar, perkongsian maklumat dan penyatuan komitmen antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam merancang serta melaksanakan agenda pembangunan sektor agromakanan secara lebih bersepadu. Komitmen bersama ini menjadi pemangkin utama kepada transformasi sektor agromakanan negara yang lebih moden, berdaya saing dan inklusif.

Melalui pendekatan yang menyeluruh dan berpaksikan kesejahteraan rakyat, pelbagai inisiatif akan terus digerakkan bagi memperkukuh rantaian nilai agromakanan, memperluas akses kepada teknologi dan inovasi, serta memastikan ekosistem pengeluaran makanan negara mampu bertahan menghadapi cabaran global. Usaha ini mencerminkan kesungguhan bersama dalam membina sektor agromakanan yang mampan, menjana pertumbuhan ekonomi luar bandar dan menjamin kemakmuran negara secara holistik, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.