mesin basuh manusia
Gambar: AFP

Mesin Basuh Manusia Mula Dijual Di Jepun

Hannah

Mesin Basuh Manusia Mula Dijual Di Jepun

Selepas menarik perhatian pengunjung di World Expo, sebuah mesin basuh manusia kini mula dijual di Jepun, menurut jurucakap syarikat itu.

Mesin ini berfungsi dengan cara pengguna berbaring di dalam pod, menutup penutup dan dibersihkan seperti pakaian dalam mesin basuh sambil muzik dimainkan.

Selain itu, berbeza dengan mesin basuh pakaian, mesin basuh manusia ini tiada fungsi putaran.

Prototip peranti yang dinamakan “Human Washer of the Future” ini mendapat sambutan hangat dengan barisan panjang semasa Expo berlangsung selama enam bulan di Osaka. Untuk info, expo tersebut berakhir pada Oktober dan telah menerima lebih 27 juta pengunjung.

Dihasilkan oleh syarikat Jepun, Science, mesin ini merupakan versi terkini daripada produk yang pernah dipamerkan ketika Osaka menjadi tuan rumah Expo pada tahun 1970.

“Presiden syarikat kami terinspirasi oleh mesin ini ketika berusia 10 tahun,” kata jurucakap Science, Sachiko Maekura, kepada AFP.

Tambah Maekura, mesin ini “bukan sahaja membersihkan badan, malah juga jiwa”, sambil memantau degupan jantung dan tanda-tanda vital pengguna.

Selepas sebuah syarikat resort di Amerika Syarikat (AS) menghubungi Science untuk melihat sama ada prototip ini boleh dikomersialkan, syarikat tersebut memutuskan untuk menghasilkan mesin ini secara rasmi.

Sebuah hotel di Osaka menjadi pembeli pertama dan kini sedang bersedia menawarkan perkhidmatan ini kepada tetamu hotel.

Selain itu, Yamada Denki, salah satu rangkaian kedai elektronik pengguna terbesar di Jepun, turut membeli mesin ini dengan harapan ia dapat menarik lebih ramai pengunjung ke kedainya.

“Disebabkan keunikan mesin ini, kami merancang untuk menghasilkan hanya kira-kira 50 unit sahaja,” kata Maekura.

Menurut laporan media tempatan, harga runcit mesin ini adalah 60 juta yen (kira-kira RM1,579,020.00).

BACA: Detik Cemas Pesawat Ringan ‘Mendarat’ Atas Kereta Di Jalan Raya

Sumber: AFP, Straits Times