KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) — Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini memberi jaminan bahawa Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) masih diteruskan dan mereka yang membuat permohonan sehingga 27 April dan telah diluluskan, adalah layak mendapat bantuan kewangan itu.
Kenyataan Perkeso hari ini menjelaskan bahawa mesej di Twitter yang tular dan mendakwa bahawa program itu dihentikan kerana kekurangan dana adalah tidak benar dan tidak menggambarkan status sebenar program tersebut.
“Setakat hari ini, Perkeso telah menerima sejumlah 27,222 permohonan daripada majikan membabitkan 230,652 pekerja dan peruntukan sebanyak RM120 juta sebagai bantuan kewangan untuk tempoh sebulan kepada 200,000 pekerja di bawah program itu.
“Ketika ini, Perkeso sedang memproses permohonan itu dan mengagihkan dana kepada permohonan yang telah diluluskan berdasarkan syarat yang telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Pada 16 Mac, kerajaan telah mengumumkan ERP di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bagi mengurangkan beban majikan yang terjejas secara ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Menurut kenyataan itu, kerajaan telah memperuntukkan RM120 juta bagi program tersebut yang mana RM60 juta adalah daripada kerajaan manakala RM60 juta adalah daripada Skim Insurans Pekerjaan Perkeso (EIS).
“Bantuan kewangan bernilai RM600 sebulan adalah bertujuan membantu pekerja yang diberikan Cuti Tanpa Gaji dengan persetujuan dan bantuan dibayar melalui majikan,” menurut kenyataan itu.
Semalam, tular di Twitter bahawa program ERP telah ditutup berkuat kuasa pada 22 April dan permohonan yang dikemukakan selepas tarikh itu tidak akan diproses.
Sumber: BERNAMA