Bekerja di bawah panas matahari sudah tentu membuatkan kita dahaga. Apatah lagi jika perlu melakukan kerja yang memerlukan banyak tenaga serta kekuatan fizikal seperti buruh dan pencuci bangunan.
Baru-baru ini, seorang penghuni kondominium di Farrer Park, Singapura berkongsi kisahnya melihat seorang pekerja pencuci bangunan di luar unit rumahnya.
Memetik laman Stomp, individu bernama Zubair itu berkata, dia kagum dengan para pekerja asing tersebut yang sanggup membahayakan nyawa mereka demi menjalankan tanggungjawab membersihkan bangunan.
“Saya berikan mereka jus oren dan mereka suka,” katanya, menceritakan kembali saat melihat pekerja itu pada petang 30 Mac lalu.
Dalam gambar dikongsikan Zubair, kelihatan para pekerja itu tersenyum sambil memegang segelas jus oren sambil tergantung dengan memakai tali keselamatan di luar bangunan. Jelasnya, pekerja tersebut turut mengucapkan terima kasih atas pemberiannya.
“Tabik kepada pekerja asing ini yang mempertaruhkan nyawa mereka untuk memanjat dan membersihkan bangunan tinggi sambil berjauhan dengan keluarga mereka.
“Saya sangat menghormati mereka,” katanya.

