
Syarikat automotif gergasi, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) bertindak ‘memanggil balik’ beberapa model kereta keluaran tahun 2004 hingga 2016 susulan masalah berpotensi berkait beg udara Takata, lapor Dagang News.
Menurut MBM, langkah tersebut dilaksanakan untuk menjamin keselamatan pelanggan dan meningkatkan pemahaman tentang keadaan model beg udara selepas tempoh yang lama.
MBM dan Daimler AG ingin meyakinkan para pelanggan bahawa model kereta penumpang keluaran syarikat mereka tidak lagi menggunakan beg udara berasaskan ammonium nitrat seperti beg udara keluaran Takata dan pengeluar-pengeluar lain.
“Keselamatan pelanggan adalah keutamaan kami. Pada pertengahan 2019, kami memutuskan untuk melaksanakan panggilan semula di seluruh dunia bagi Mercedes-Benz, Van dan MB Trucks yang terjejas.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Sistem Keselamatan Joyson (organisasi yang menggantikan Takata) untuk bertukar penemuan dan pandagan terkini,” jelas MBM, memetik laporan Dagang News.
Antara model Mercedes-Benz yang dipanggil balik termasuk 169 (A-Class), 203, 204 (C-Class), X204 (GLK), 207 (E-Coupé/ Convertible), 212 (E-Class), 164 (ML-Class dan GL-Class), 251 (R-Class), 171 (SLK) dan 197 (SLS AMG).
Tambah MBM, semua pemilik model Mercedes-Benz berkenaan boleh memeriksa VIN kenderaan masing-masing di laman web mikro Mercedes-Benz di sini atau hubungi Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1-800-88-1133.
Sumber: Dagang News