tentera indonesia rusia
Sumber: Kompas.com

Menyesal Jadi Tentera Bayaran Rusia, Lelaki Indonesia Merayu Mahu Pulang 

Hannah

Menyesal Jadi Tentera Bayaran Rusia, Lelaki Indonesia Merayu Mahu Pulang

Seorang bekas anggota Korps Marinir Tentera Nasional Indonesia (TNI) Laut sekali lagi mencuri perhatian selepas sebelum ini tular menyertai tentera bayaran Rusia dalam konflik Ukraine.

Terbaharu, lelaki terbabit yang kini masih berada di zon konflik, merayu untuk kembali ke tanah air dan memohon agar status kewarganegaraannya sebagai warga Indonesia dikembalikan.

Pada Mei 2025, nama lelaki terbabit menjadi sebutan ramai apabila dia mendedahkan telah menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Rusia.

Tindakannya itu menyebabkan kewarganegaraan Indonesia yang dimilikinya dilucutkan.

Namun, menerusi satu video di TikToknya baru-baru ini, dia tampil menyampaikan permohonan maaf terbuka kepada Presiden Prabowo Subianto, Timbalan Presiden Gibran Rakabuming Raka dan Menteri Luar Negeri Sugiono.

“Mohon izin, Bapak. Saya ingin memohon maaf sebesar-besarnya apabila ketidaktahuan saya menandatangani kontrak dengan Kementerian Pertahanan Rusia mengakibatkan dicabutnya warganegara saya,” ujarnya dalam nada sebak.

Tidak berniat menentang negara sendiri, hanya mahu cari nafkah

Lelaki terbabit menegaskan bahawa dia tidak pernah berniat untuk menentang negaranya sendiri.

Keputusan untuk menyertai angkatan tentera asing itu, katanya, dibuat semata-mata demi keperluan ekonomi kerana sukar mendapat pekerjaan selepas diberhentikan daripada perkhidmatan ketenteraan.

“Saya datang ke sini (Rusia) hanya untuk mencari nafkah. Wakafa Billahi, cukuplah Allah sebagai saksi,” katanya lagi.

Sebelum berangkat, dia sempat meminta izin dan restu daripada ibunya.

Namun kini, setelah menyaksikan realiti hidup sebagai tentera bayaran, dia mula sedar bahawa kehilangan kerakyatan Indonesia bukan satu perkara ringan. Ia satu kehilangan besar yang menghantui dirinya setiap hari.

Dalam rayuannya, dia memohon agar kerajaan Indonesia membantunya menamatkan kontrak dengan Rusia dan mengembalikan statusnya sebagai rakyat Indonesia.

Dia turut berharap mesejnya dapat sampai kepada pihak berkuasa yang berkaitan agar nasibnya dipertimbangkan semula.

“Saya tidak mahu kehilangan kewarganegaraan saya kerana bagi saya, menjadi warganegara Republik Indonesia adalah satu anugerah yang tiada galang gantinya,” katanya dengan penuh rasa kesal.

TNI AL tegas: Tiada kaitan lagi dengan kami

Mengulas perkembangan tersebut, Tentera Laut Indonesia menegaskan bahawa mereka tidak lagi mempunyai apa-apa kaitan dengan lelaki terbabit.

Ketua Penerangan TNI AL, Laksamana Pertama Tunggul, menyatakan bahawa isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Undang-undang kerana dia bukan lagi anggota tentera.

Menurut rekod rasmi, lelaki terbabit sebelumnya telah diberhentikan daripada perkhidmatan dan pernah dikenakan tindakan undang-undang yang membawa hukuman penjara.

“Maka, tiada lagi kewajiban institusi untuk melayan sebarang permintaan daripada pihak beliau,” ujar Tunggul tegas.

Bekas Jeneral & Ahli Parlimen: Negara tak wajib lindungi

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indonesia merangkap bekas Jeneral, TB Hasanuddin, turut memberi pandangan yang selari.

Menurutnya, jika lelaki terbabit telah secara rasmi kehilangan status warganegara, maka kerajaan Indonesia tidak mempunyai tanggungjawab untuk melindunginya.

“Jika status kewarganegaraan beliau telah dicabut oleh Kementerian Undang-Undang, maka tidak timbul isu perlindungan oleh kerajaan,” ujar beliau.

Berdasarkan Undang-Undang No. 12 Tahun 2006 Pasal 23(d), warga Indonesia akan hilang kewarganegaraan secara automatik sekiranya menyertai tentera asing tanpa izin Presiden. Hal yang sama turut diperincikan dalam Peraturan Pemerintah No. 21 Tahun 2022.

Sementara itu, Ahli Parlimen dari Parti NasDem, Amelia Anggraini, mengingatkan bahawa tindakan menyertai tentera bayaran adalah satu pelanggaran serius terhadap undang-undang negara dan sumpah prajurit.

Negara, katanya, tidak wajar berlembut hanya kerana simpati semata-mata.

“Kesetiaan terhadap negara adalah sesuatu yang mutlak. Undang-undang tidak boleh dilonggarkan hanya kerana rasa kasihan,” tegasnya.

Amelia turut menyatakan bahawa sebarang permohonan untuk mendapatkan semula kewarganegaraan harus melalui proses yang sangat ketat, termasuk pertimbangan aspek keselamatan dan kepentingan nasional.

BACA: 3 Maut Dipercayai Dipijak Ketika Berebut Makanan Di Majlis Kahwin Anak Gabenor Jawa Barat

BACA: Cinta Ditolak, Lelaki Warga Emas Nekad Culik Remaja Perempuan

BACA: Putera Al-Waleed Khalid Mangkat Selepas 20 Tahun Koma – Pejabat Diraja

Sumber: Kompas.com