Pegawai konservasi Thailand dilaporkan telah menemui seekor rusa yang telah mati bersama dengan 7 kilogram beg plastik dan sampah lain di dalam perutnya.
Ia merupakan penemuan terbaharu yang memperlihatkan kesan pembuangan sisa plastik terhadap hidupan liar.
Menurut Jabatan Taman Negara, Hidupan liar dan Konservasi Tumbuhan, rusa itu ditemui pada isnin lalu di Taman Negara Khun Sathan di utara Thailand.
Melalui gambar yang dimuatnaik oleh DnpReport di Twitter, autopsi yang dijalankan ke atas rusa tersebut memperlihatkan perutnya mengandungi beg plastik termasuk beg sampah, bungkusan kopi, bungkusan perasa, sarung tangan getah, tuala dan seluar dalam.
Rusa yang dipercayai berumur 10 tahun itu juga didapati tidak mempunyai luka luaran dan telah mati dua hari sebelum ditemui.
Pengarah Kawasan Dilindungi di Taman Negara Khun Sathan, Kriangsak Thanompun, berkata beg plastik menjadi salah satu punca kematian rusa tersebut.
“Ini menunjukkan kita perlu mengambil tindakan yang serius dan mengurankan penggunaan plastik serta menggunakan produk mesra semulajadi,” katanya.
Sebelum ini, anak dugong juga pernah ditemui mati bersama sisa buangan plastik di dalam perutnya.
Sumber: CNN