Cheesy Oblong Burger
Kredit: @khairulaming via TikTok

Menu Sesuai Untuk "Movie Night," Ini Resipi Mudah Cheesy Oblong Burger

Azzwin

Menu Sesuai Untuk "Movie Night," Ini Resipi Mudah Cheesy Oblong Burger

Menonton filem di rumah kini menjadi pilihan ramai untuk melepas penat selepas hari yang sibuk.

Keselesaan sofa, cahaya lampu yang redup dan bunyi filem yang mengisi ruang tamu sudah cukup untuk mencipta suasana santai.

Namun, tiada pengalaman menonton filem yang lengkap tanpa kudapan yang sesuai.

Hari ini, SK nak kongsikan resipi Cheesy Oblong Burger daripada @khairulaming di TikTok yang sesuai dijadikan menu lazat untuk mengisi perut bila-bila masa.

Bahan-bahan yang diperlukan

Menurut @khairulaming, bahan-bahan yang diperlukan untuk resipi ini ialah daging kisar, sedikit minyak masak, garam, serbuk lada hitam dan separuh biji bawang Holland yang dipotong dadu.

cheesy oblong burger
Kredit: @khairulaming via TikTok

Selain itu, sediakan roti oblong, mentega, dan keju keping untuk penyediaan roti berkeju.

Bagi penyediaan sos pula, bahan-bahan yang diperlukan termasuk mayonis, timun jeruk yang dicincang halus, mustard, sedikit cuka, serbuk bawang putih, serbuk lada hitam, serta sos cili.

Untuk pelengkap hidangan, sediakan daun salad dan hirisan tomato atau sayur lain mengikut citarasa.

Cara menyediakan "cheesy oblong burger"

Dalam video resipi itu, @khairulaming mulakan dengan memanaskan kuali bersama sedikit minyak.

Setelah kuali cukup panas, masukkan daging kisar yang masih beku ke dalam kuali.

Hancurkan dan lenyekkan daging menggunakan sudip supaya ia masak sekata.

Kemudian, perasakan dengan garam dan serbuk lada hitam, lalu goreng sebentar sehingga daging mula bertukar warna.

cheesy oblong burger
Kredit: @khairulaming via TikTok

Seterusnya, masukkan separuh bawang Holland yang telah dipotong dadu ke dalam kuali.

Teruskan menggoreng sehingga bawang menjadi lembut dan sedikit garing, serta daging masak sepenuhnya.

Setelah itu, ketepikan daging kisar tersebut buat sementara waktu.

Penyediaan roti "cheesy oblong burger"

Menurut @khairulaming, untuk penyediaan roti, sapukan sedikit mentega pada roti oblong.

Kemudian, panaskan roti di atas kuali dan terbalikkan sehingga kedua-dua bahagian menjadi keemasan.

roti oblong
Kredit: @khairulaming via TikTok

Letakkan keju keping di atas roti yang masih panas supaya keju mula cair dengan cantik.

Tutup kuali menggunakan penutup periuk dan biarkan seketika bagi menghasilkan wap, sekali gus membantu keju cair sepenuhnya. Setelah keju cair, angkat dan ketepikan roti tersebut.

Resipi sos "cheesy oblong burger"

Bagi penyediaan sos, @khairulaming menyediakan satu mangkuk dan masukkan separuh cawan mayonis ke dalamnya.

Tambahkan timun jeruk yang telah dicincang halus, satu sudu mustard, sedikit cuka mengikut cita rasa, serbuk bawang putih, serbuk lada hitam, serta dua sudu sos cili.

sos
Kredit: @khairulaming via TikTok

Sos tomato juga boleh digunakan, namun sos cili memberikan rasa yang lebih berperisa. Gaulkan semua bahan sehingga sebati.

Untuk penyediaan akhir, letakkan daging kisar yang telah digoreng di atas roti berkeju tadi.

Seterusnya, sapukan sos yang telah disediakan, dan tambahkan sayur seperti daun salad.

Jika suka, boleh juga ditambah hirisan tomato atau bahan lain mengikut citarasa.

Tutup dengan bahagian atas roti oblong, dan hidangan sedia untuk dinikmati.