
Menu Nostalgia Orang Perak, Kenali Bubur Anak Lebah
Selain kuih-muih, bubur antara menu yang seringkali dihidangkan sebagai juadah minum petang. Hidangan ini bukan sahaja mudah disediakan, malah ia juga sesuai dinikmati oleh semua peringkat usia.
Lazimnya, masyarakat lebih mengenali bubur kacang hijau, bubur pulut hitam atau bubur jagung. Namun, terdapat satu lagi jenis bubur yang jarang didengari, namun mempunyai rasa yang cukup enak dan unik.
Hidangan tersebut dikenali sebagai bubur anak lebah, yang sangat terkenal di kawasan Perak Tengah terutamanya di kawasan Bota.
Keistimewaan bubur ini bukan sahaja terletak pada rasanya yang lemak manis, tetapi juga pada tradisi dan nilai budaya yang diwarisi sejak turun-temurun. Namun begitu, makanan warisan negeri Perak ini semakin dilupakan kerana cara penyediaannya yang agak rumit dan memerlukan ketelitian.
Bubur anak lebah
Menurut portal Orang Perak, menu ini diberi nama bubur anak lebah kerana rupa tepungnya menyerupai anak lebah. Hal ini demikian kerana adunan tepung tersebut perlu disagat menggunakan alatan khas yang akhirnya menghasilkan bentuk kecil-kecil seakan-akan anak lebah.
Proses ini memerlukan kemahiran dan kesabaran, menjadikan bubur anak lebah sebagai hidangan yang unik serta sarat dengan nilai tradisi.
Bubur anak lebah ini kebiasaannya dihidangkan untuk majlis-majlis selepas ibu baru habis berpantang. Antara majlis yang dimaksudkan adalah majlis naik buai, majlis cukur jambul, majlis akikah dan lain-lain yang berkaitan.
Menurut salah seorang penduduk di Perak, resipi membuat bubur warisan turun-temurun itu masih mengekalkan cara pembuatan tradisional kerana tidak menggunakan campiran pewarna pada penghasilan anak lebah.
Antara bahan-bahan yang perlu disediakan tidak banyak cuma santan segar, tepung beras, tepung gandum, daun pandan, sedikit kapur sirih, air panas dan gula putih sahaja.
Bagi segelintir individu, mereka gemar menggunakan perisa pandan dan pewarna untuk nampak warnanya lebih menarik pada adunan anak lebah.
Difahamkan, adunan ini perlu diberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan teksturnya menjadi lembut dengan menggunakan air panas. Pada masa yang sama, adunan tersebut perlu digaul secara berterusan agar tepung tidak melekat atau bergumpal ketika dimasak.
BACA: Eko Patrio Menangis Rindu Kucing, Merayu Pada Perusuh Pulangkan Semula
https://www.facebook.com/share/p/1BKfKxt7CH/
Sumber: Orang Perak, Bernama