
Kuala Lumpur, 22 Ogos 2023 – Menteri Pertahanan, YB Dato’ Seri Utama Mohamad bin Haji Hasan telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan Peringkat Kementerian Pertahanan 2023 di Dataran Wisma Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Seramai 500 orang warga Kementerian Pertahanan termasuk kakitangan awam dan Angkatan Tentera Malaysia telah berkumpul bagi menyahut saranan Kerajaan untuk mengimarahkan bulan kebangsaan.
Pelbagai aktiviti telah dilaksanakan antaranya pameran reruai oleh Bahagian dan Perkhidmatan ATM yang berkonsepkan Monumen Arca Menara Jam Sultan Abdul Samad yang berlatarbelakangkan panorama bangunan ikonik Kuala Lumpur. Selain itu, turut diadakan seni ‘kolam’ sempena logo rasmi hari merdeka yang terletak di ruang legar Wisma Pertahanan.
Bangunan Wisma Pertahanan turut dihiasi dengan Jalur Gemilang di setiap sudut dalam dan luar. Pada sebelah malam pula, wisma ini akan dimandikan dengan cahaya lampu bertemakan warna Jalur Gemilang iaitu Merah, Kuning, Biru dan Putih.
Acara simbolik penyerahan Jalur Gemilang juga turut disempurnakan oleh YB Menteri Pertahanan kepada Pemangku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, YBhg. Datuk Dr. Shahrazat Binti Haji Ahmad mewakili warga Kementerian Pertahanan dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Rahman bin Ayob mewakili seluruh warga ATM.
Majlis diakhiri dengan acara flag off dan perarakan masuk kenderaan-kenderaan daripada Kementerian Pertahanan dan ATM seperti Kenderaan Pemerintah Jenis Cendana dan GKM 1, Kenderaan LRIV Pasukan Khusus ATM, Kereta Peronda dan Motosikal GTR Polis Tentera, Kereta Turus Perkhidmatan ATM, Kenderaan Utiliti dan Serbaguna Jabatan serta dua buah Motosikal Scrambler.