
Menteri Agama Ambil Maklum Isu Ajaran SiHulk, Gesa JAIN Ambil Tindakan
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada hari ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka telah mengambil maklum berkenaan video tular pengikut ajaran SiHulk.
Kenyataan itu dibuat oleh Dato’ Setia Dr. Na’im menerusi hantaran muat naik terbaru di Facebook miliknya pada tengah hari tadi.
Menurut kenyataan itu, pihaknya telah menerima maklumat mengenai dua video tular yang memaparkan dua individu yang mengeluarkan kenyataan menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Kedua-dua video tersebut menjadi tular di media sosial. Individu dalam kedua-dua video tersebut menyatakan mereka menyokong fahaman yang dibawa oleh Suhaini bin Mohammad @ SiHulk.
“Salah satu video yang kembali menjadi tular tersebut dimuatnaik melalui facebook seorang wanita dengan tajuk; `Nabi Muhammad itu adalah Allah’,” tulis kenyataan itu.
Tambahnya lagi, setakat 20 Julai lalu, Facebook milik seorang wanita itu telah tidak dapat diakses lagi.
Dalam pada itu, kenyataan itu juga memaklumkan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk adalah merupakan ajaran sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam.
“Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-117 yang bersidang pada 25 hingga 29 Ogos 2020 telah memutuskan bahawa ajaran dan fahaman SiHulk sebagai sesat, menyeleweng daripada ajaran Islam berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah,” tulis kenyataan itu lagi.
Menurutnya lagi, sebarang tindakan penguatkuasaan adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Berkaitan perkara itu, pihak JAKIM telah menyalurkan maklumat berkenaan SiHulk kepada JAIN.
Selain itu, JAKIM juga telah diarah untuk bekerjasama dengan pihak Polis bagi membantu membanteras penyebaran ajaran sesat tersebut.
Bagi mana-mana pihak yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kumpulan ajaran sesat berkenaan diminta untuk tampil ke hadapan dan membuat laporan.
Sehubungan itu, JPM (Hal Ehwal Agama) juga sempat menasihati agar umat Islam tidak terlibat dan terjerumus ke dalam ajaran sesat berkenaan.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menasihati supaya umat Islam tidak terlibat dan menjauhi daripada penyebaran ajaran sesat tersebut.
“Mana-mana orang yang didapati terbabit dalam kesalahan yang berhubungan dengan kesucian agama Islam seperti penyebaran ajaran sesat boleh dikenakan tindakan mengikut Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri-Negeri,” tambahnya lagi.
BACA: Ada Mulut Rupanya, Baru Tahu Macam Mana Cara Siput Makan
Sementara itu, pihak JPM juga meminta semua pihak untuk berkerjasama dalam menangani isu ini dengan lebih berkesan. Ia harus dilakukan demi menjaga akidah umat Islam dari terus terpesong akibat penyebaran ajaran seperti ini.
Sumber: Facebook/ Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)