Menjelang perlawanan Final Shopee Piala FA 2019 yang akan berlangsung pada 27 Ogos ini, pasukan Kedah akan menghadapi detik sukar apabila terpaksa beraksi tanpa kelibat pemain import mereka, Renan Alves yang telah digantung satu perlawanan.
Sebelum ini, pemain pertahanan pasukan Kedah itu telah menerima kad kuning kedua dan seterusnya dilayangkan kad merah ketika perlawanan terakhir Liga Super 2019 menentang Felda United. Disebabkan itu, surat hukuman penggantungan perlawanan telah dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepadanya.
Menerusi siaran media yang dikeluarkan oleh pihak FAM, hukuman penggantungan terhadap Renan Alves adalah mengikut Kod Tatatertib FAM. Perkara ini kerana penggantungan perlawanan yang melibatkan perintah keluar padang ke atas pemain bagi perlawanan akhir pertandingan tersebut akan dibawa ke perlawanan rasmi pasukan/kelab yang seterusnya.
Disebabkan perlawanan rasmi pasukan Kedah yang seterusnya adalah bertemu Perak dalam Final Shopee Piala FA 2019 itu, Renan Alves sememangnya tidak dapat diturunkan dalam perlawanan akhir pada Sabtu ini.
Pihak FAM juga menjelaskan bahawa tiada isu kekeliruan yang boleh dibangkitkan berikutan penggantungan perlawanan terhadap pemain import itu. Situasi ini juga pernah berlaku kepada beberapa pemain lain yang terlepas aksi final disebabkan kad merah yang diterima pada perlawanan liga seperti Aidil Zafuan (JDT), Luis Garcia (Liverpool) dan Hayden Mullins (West Ham).
Sumber: Football Association Of Malaysia