Doktor di Lithuania telah berjaya mengeluarkan lebih dari satu kilogram paku dan skru dari perut seorang lelaki yang mula menelan logam tersebut setelah dia dilaporkan berhenti daripada mengambil minuman beralkohol.
Menurut The Guardian, lelaki tersebut dimasukkan ke hospital di bandar Klaipeda, Lithuania kerana mengadu sakit perut.
X-ray yang dilakukan ke atas perutnya berjaya menemui kepingan logam yang berukuran sehingga lebih 10cm.
“Selama pembedahan tiga jam dengan kawalan sinar-X, semua benda asing, bahkan yang terkecil, di perut pesakit berjaya dikeluarkan,” kata pakar bedah Sarunas Dailidenas.
Hospital tersebut difahamkan telah menunjukkan gambar dulang pembedahan yang dipenuhi dengan paku dan skru kepada media tempatan.
“Kami tidak pernah melihat kes yang sebegini,” kata Algidras Slepavicius, ketua bedah di Hospital Klaipeda kepada media tempatan.
Doktor menyatakan bahawa lelaki itu mula menelan objek logam tersebut sejak sebulan lalu setelah dia berhenti minum minuman beralkohol.
Pesakit kini berada dalam keadaan stabil selepas daripada pembedahan, katanya.
Sumber: The Guardian