Memorandum Jemaah Menteri Tangani TABIKA KEMAS Daif
Putrajaya, 27 Januari – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sedang menjalankan kajian secara menyeluruh berhubung keperluan naik taraf dan baik pulih TABIKA KEMAS seluruh negara.
Kajian ini selaras dengan arahan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya satu Memorandum Jemaah Menteri (MJM) mengenai perkara berkenaan disediakan.
Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man menyatakan KEMAS sedang menyediakan laporan yang komprehensif yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kerja-kerja fizikal tetapi turut mengambil kira aspek dasar. Ini termasuk isu pemilikan tanah, status bangunan yang digunakan secara menumpang, terutamanya bangunan awam seperti balai raya, serta kaedah perolehan bangunan komersial yang sesuai untuk dijadikan premis TABIKA.

“Kita mahu penyelesaian secara menyeluruh dapat dicadangkan bagi memastikan pendidikan awal kanak-kanak khususnya di luar bandar lebih teratur dan terjamin,” katanya.
Selain itu, bagi kawasan pedalaman, penyediaan tenaga elektrik dan sumber air perlu diberi perhatian. Keputusan kerajaan mengenai penggunaan panel solar, tangki tadahan hujan atau air bawah tanah juga wajar dikaji dengan teliti bagi memastikan keperluan asas ini dapat dipenuhi secara berkesan.

KEMAS bukan sahaja komited dalam penyediaan kemudahan fizikal yang kondusif, tetapi jauh lebih penting anak-anak di luar bandar mendapat peluang pendidikan awal yang berkualiti sama seperti yang dinikmati oleh anak-anak yang berada di bandar.