Seorang pengantin perempuan di Indonesia terpaksa bersanding sendirian selepas suaminya meninggal dunia di hari pernikahan, tulis TribunBiz.
Menurut portal itu, Momon Tanjung telah bernikah dengan suaminya, Suharman pada September lalu.
Dalam gambar tular yang dikongsikan kakaknya, Erde Dayat Tanjung, kelihatan wanita itu bersendirian dengan busana pengantin di atas pelamin ketika majlis resepsi.
Kata Erde, keadaan Suharman pada awalnya baik sahaja semasa akad nikah pada Jumaat, 29 September lalu. Namun, sehari selepas itu, lelaki itu mengalami lelah dan penat semasa majlis persandingan.
Malah, keadaan lelaki itu tidak pulih walaupun selepas rehat dan minum ubat sehinggalah majlis persandingan tiba.
“Ketika bersanding, dia tak boleh duduk. Pihak keluarganya menyuruh dia rehat, jadi tidak naik ke pelamin,” kata wanita itu.
Susulan itu, hanya pengantin perempuan sahaja yang bersanding bagi melayan tetamu yang tiba. Dalam masa yang sama, keadaan Suharman yang semakin memburuk membuatkannya terpaksa dihantar ke hospital.
“Selepas Maghrib, keadaannya semakin teruk. Jadi pihak keluarga sepakat bawa ke hospital. Katanya ada saraf kepala yang tersumbat,” tambahnya seperti dilapor Tribun Biz.
Suharman yang kemudiannya kritikal telah dirawat selama dua hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir.