“Memang Layak Untuk Dibenci,” Bungkusan Dicuri Bernilai RM10K Dipulangkan Semula Berserta Surat Mohon Maaf

syafiq halim

Kejadian jenayah seperti mencuri sangat sukar untuk dielakkan malah berlaku di seluruh negara. Perbuatan tersebut merupakan kaedah untuk mengaut keuntungan dengan cepat. Namun, disebalik setiap kes kecurian, terdapat faktor yang mendorong kepada perbuatan tersebut seperti masalah kesusahan hidup.

Itulah yang dialami oleh dua orang wanita gelandangan yang dilihat mencuri bungkusan yang baru saja diletakkan oleh pekerja kurier di hadapan rumah pelanggannya. Namun, setelah mengetahui bahawa bungkusan tersebut merupakan hadiah yang ingin diberikan kepada kanak-kanak yang sakit, mereka memulangkan serta meninggalkan nota memohon maaf kepada tuan rumah itu.

Kisah ini bermula apabila Timmy Vick Sr membeli replika tali pinggang tersebut untuk dihadiahkan kepada anaknya yang menghidapi penyakit tumor di bahagian otak. Menurutnya, dia telah membelanjakan kira-kira $ 2,000 (RM10,457.71) bagi menghiburkan anaknya yang sangat menggemari siaran gusti WWE tersebut.

Walau bagaimanapun, kegembiraan itu bertukar duka setelah hadiah berkenaan didapati telah dicuri oleh dua orang wanita. Namun, setelah beberapa hari, bungkusan tersebut telah dipulangkan bersama surat permohonan maaf daripada kedua-dua wanita tersebut.

Menerusi surat berkenaan, dua orang pencuri tersebut tidak menyangka bahawa bungkusan yang dicuri adalah hadiah yang ingin diberikan kepada kanak-kanak yang sakit. Disebabkan itu, mereka bertindak untuk memulangkan kembali bungkusan tersebut serta memohon maaf ke atas perbuatan tersebut. Mereka juga menyatakan bahawa mereka malu dengan perbuatan mereka dan layak untuk dibenci.

Walau bagaimanapun, tiada sebarang tindakan jenayah yang diambil ke atas wanita berkenaan kerana mereka lebih memerlukan bantuan.

Sumber: Daily Mail