
Ketumbuhan ginekologi dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sering terlepas pandang di Malaysia. Walaupun jarang berlaku, tumor ovari membawa cabaran yang kompleks dari segi diagnosis, emosi, dan rawatan terhadap pesakit muda, keluarga, serta pengamal perubatan. Persatuan Hematologi dan Onkologi Pediatrik Malaysia menganggarkan kadar insiden sekitar 77.4 bagi setiap sejuta kanak-kanak di bawah umur 15 tahun, dengan jenis kanser yang amat berbeza daripada orang dewasa serta memberi tindak balas yang berlainan terhadap rawatan.
Menurut Dr Shona Alison Edmonds, Pakar Bedah Kanak-Kanak di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC), kesedaran awal dan pendekatan pelbagai disiplin adalah kunci untuk meningkatkan hasil rawatan serta memelihara kualiti hidup pada masa depan kanak-kanak yang terkesan.
Mengenal Pasti Simptom Yang Sering Tidak Disedari Ibu Bapa
Dr Shona dan pakar-pakar bedah dan ginekologi di SMC menganggarkan mereka melihat sekitar lima kes ketumbuhan ginekologi pediatrik setiap tahun. Walaupun jarang, kesannya adalah besar. Kebanyakan pesakit terdiri daripada bayi hingga remaja, dengan ketumbuhan ovari paling kerap berlaku. Ada pesakit hadir dengan sakit akut yang memerlukan rawatan kecemasan, tetapi ramai juga menunjukkan simptom ringan yang boleh tidak disedari selama berminggu atau berbulan, terutamanya dalam kalangan perempuan yang tiada masalah ginekologi sebelumnya.

“Sembelit kronik pada seorang kanak-kanak yang sebelum ini normal wajar menimbulkan kebimbangan, terutamanya jika tidak bertindak balas terhadap ubat pelawas atau perubahan diet,” kata Dr Shona. Kerap membuang air kecil tanpa jangkitan saluran kencing juga merupakan tanda amaran, yang mungkin menunjukkan tekanan daripada ketumbuhan di kawasan pelvis.
Perut kembung adalah satu lagi gejala penting tetapi sering diabaikan. “Ibu bapa atau anak mungkin perasan rasa penuh, keras atau bengkak,” jelasnya. “Kadangkala, anak itu sendiri rasa ada ketulan atau ketidakselesaan yang sukar diterangkan.” Penemuan simptom sebegini wajar disusuli dengan pemeriksaan lanjut, biasanya bermula dengan imbasan ultrasound.
Hapuskan Mitos, Hindari Kelewatan
Salah satu sebab utama kelewatan diagnosis ialah kurangnya kesedaran dalam kalangan orang awam dan sesetengah pegawai kesihatan. “Ramai beranggapan kanak-kanak tidak boleh mendapat ketumbuhan ginekologi, terutamanya kanak-kanak perempuan yang belum akil baligh. Apabila remaja menunjukkan simptom pula, ia sering disalah tafsir sebagai jangkitan atau dikaitkan dengan aktiviti seksual, menyebabkan rawatan sebenar tertangguh,” jelas Dr Shona.
Beliau turut menekankan wujudnya kelewatan dari pelbagai peringkat: daripada pihak pesakit yang takut menerima berita buruk atau mencuba rawatan alternatif terlebih dahulu, dan daripada pihak doktor di mana ada yang kurang jelas tentang saluran rujukan yang betul. Hakikatnya, kanak-kanak yang disyaki mempunyai ketumbuhan perlu segera dirujuk dan ditangani oleh pakar onkologi pediatrik.

Melangkaui Ketumbuhan Ovari: Memelihara Masa Depan Kanak-Kanak
“Walaupun memelihara kesuburan anak-anak adalah penting, keutamaan tetap harus diberikan kepada rawatan tumor demi menyelamatkan nyawa mereka. Bagi remaja perempuan yang lebih berusia, rawatan boleh ditangguhkan sehingga dua minggu untuk tujuan pemeliharaan telur. Manakala bagi kanak-kanak yang lebih muda, rawatan cryopreservation tisu ovari menawarkan harapan,” kata Dr Shona.
“Walaupun masih belum meluas di Malaysia kerana jumlah kes yang rendah, kesedaran kini semakin meningkat. Semakin ramai ibu bapa bertanya tentang kesuburan anak mereka pada masa hadapan. Sebab itulah penglibatan pakar kesuburan dari awal diperlukan,” jelas Dr Shona.
Meningkatkan Hasil Rawatan Melalui Kolaborasi dan Penjagaan Pediatrik Pakar
Kesejahteraan jangka panjang kanak-kanak bukan sahaja melibatkan rawatan tetapi juga memerlukan sokongan emosi dan keluarga. “Perkembangan kanak-kanak perlu dijaga dengan teliti, melangkaui rawatan untuk tumor sahaja,” kata Dr Shona, menekankan kepentingan sokongan psikologi semasa dan selepas rawatan, di mana pakar profesional membantu kanak-kanak menghadapi trauma.
Dr Shona turut menekankan kepentingan kesedaran bahawa sebarang keadaan kesihatan atau kanser dalam kalangan kanak-kanak perlu melibatkan pasukan penjagaan pediatrik. “Garis panduan Kementerian Kesihatan masih mentakrifkan penjagaan pediatrik sehingga umur 12 tahun, tetapi kebanyakan ketumbuhan ginekologi berlaku dalam kalangan remaja. Fokus kami bukan hanya pada kanser, tetapi juga perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan,” tegas Dr Shona.

Apabila seorang kanak-kanak didiagnosis dengan tumor ginekologi, penjagaan yang bersinergi amat penting. Dr Shona menjelaskan bahawa pendekatan pasukan multidisiplin mengendalikan semua aspek kesejahteraan kanak-kanak. “Onkologi pediatrik biasanya berperanan sebagai rujukan utama rawatan,” katanya.
“Daripada situ, pasukan lain akan turut terlibat seperti pakar bedah pediatrik, radiologi, patologi, psikologi atau psikiatri, pekerja sosial, terapi bermain dan pakar ginekologi dan kesuburan remaja.” Beliau menasihati para ibu bapa: “Jangan tangguh rawatan. Jika memerlukan pendapat kedua, dapatkan daripada pengamal perubatan yang bertauliah. Yang paling penting, pilihlah pusat kesihatan yang melihat anak anda sebagai seorang individu, bukan sekadar tumor.”
Dr Shona turut berkongsi pandangan beliau dalam Simposium Pediatrik Antarabangsa ke-2 2025 anjuran SMC, bertemakan “Pediatrik Merentasi Sempadan: Menghubungkan Subkepakaran, Menyelamatkan Nyawa,” yang menghimpunkan pakar pediatrik dari pelbagai negara untuk menangani cabaran kesihatan kanak-kanak yang mendesak serta menegaskan komitmen SMC terhadap penjagaan bersepadu kanak-kanak.
SMC diiktiraf sebagai hospital terbaik dalam bidang pediatrik di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut dalam Newsweek 2025 (Newsweek Best Specialized Hospitals Asia Pacific (APAC) 2025) sejak 2023. Hospital ini menempatkan Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak dan Wanita, dan hospital swasta pertama di negara ini yang menyediakan Jabatan Kecemasan Kanak-Kanak 24 jam.
Dengan 26 subkepakaran pediatrik dan lebih 50 pakar perubatan, Komitmen SMC terhadap keselamatan pesakit, kepuasan pesakit, dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan dibuktikan melalui akreditasi daripada Australian Council on Healthcare Standards (ACHS) International, Malaysian Society for Quality in Health (MSQH), serta Joint Commission International (JCI) dari Amerika Syarikat menegaskan kedudukannya sebagai penyedia penjagaan kesihatan pediatrik bertaraf dunia yang berpusat kepada pesakit.