KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) — Seorang mekanik yang membelanjakan lebih RM15,000 bagi mengubah suai motosikal jenis Yamaha Y15ZR miliknya ditahan semalam dalam operasi khas Ubah Suai Ekzos yang diadakan di sekitar ibu kota selama seminggu sejak 1 Mac lepas.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Zulkefly Yahya berkata pemilik motosikal berkenaan yang berumur 28 tahun itu adalah antara 79 individu berusia dalam lingkungan 18 hingga 35 tahun yang disaman atas kesalahan mengubah suai ekzos.
“Selain itu, 40 saman telah dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan 90 saman dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan di atas kesalahan yang sama,” katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Tun H S Lee, di sini hari ini.
Beliau berkata sementara itu, sebanyak 1,400 saman dikeluarkan bagi kesalahan lain manakala 84 kenderaan turut disita sepanjang operasi dijalankan.
Menurutnya, kenderaan yang ditahan akan diserah semula setelah tindakan mengggantikan ekzos diubah suai dengan ekzos yang dibenarkan.
Pemerhatian Bernama mendapati rata-rata pemilik motosikal yang ditahan membawa dan menukar ekzos motosikal diubah suai dengan ekzos asal di balai berkenaan sebelum mereka dibenarkan mengambil semula kenderaan masing-masing.
Zulkefly berkata tindakan diambil mengikut Kaedah 103 dan Kaedah 109 LN 170/1959, Seksyen 60 serta Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: BERNAMA