Mekanik Ajar 3 Cara Kenal Pasti “Absorber” Sudah Rosak Dalam Beberapa Saat
Kereta merupakan kenderaan peribadi yang dimiliki sekurang-kurangnya sebuah bagi setiap isi rumah di Malaysia.
Setiap pemilik kereta pastinya menginginkan agar kenderaan mereka sentiasa berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan sepanjang masa tanpa sebarang masalah.
Namun begitu, lumrah ciptaan manusia, pasti ada hari di mana kenderaan anda tiba-tiba meragam tanpa sebab. Antara komponen yang sering menjadi punca gangguan ialah penyerap hentak atau absorber.
Apabila absorber mula rosak, ia akan menunjukkan beberapa tanda yang mungkin hanya dapat dikesan oleh pemandu berpengalaman.
Bagi mereka yang kurang arif tentang komponen ini, SK akan berkongsi tiga cara mudah untuk mengenal pasti sekiranya absorber kereta anda sudah rosak.
Tiga cara mengetahui absorber anda rosak
Untuk makluman pembaca, tip berkenaan diambil daripada perkongsian mekanik menerusi TikTok @altimatsaujana.
Menurut perkongsian daripada @altimatsaujana, terdapat kaedah mudah untuk menguji prestasi penyerap hentakan (absorber) kenderaan anda.
Langkah pertama adalah anda disarankan untuk menurunkan tingkap kereta dan cuba menggoyangkan badan kereta dengan kuat.
Jika goyangan kenderaan terasa terlalu lembut atau melantun secara berlebihan, ia merupakan petanda jelas bahawa absorber anda memiliki masalah.
Seterusnya, pemandu wanita disarankan untuk menguji absorber kenderaan dengan melepaskan stereng seketika semasa memandu.
Difahamkan, jika kenderaan cenderung bergerak ke kiri atau kanan, ini menandakan absorber mungkin telah mula mengalami kerosakan.
Cara lain yang ditunjukkan oleh @altimatsaujana untuk memeriksa absorber belakang adalah dengan menekan bahagian but kereta (seperti duduk di atasnya).
Sekiranya kereta melantun ke atas dan ke bawah lebih dari sekali selepas tekanan dilepaskan, itu adalah tanda absorber telah rosak.
“Berat saya 96kg, kereta terus menjadi turun (lowered) apabila terdapat muatan,” kata mekanik itu.
Video tersebut memberi manfaat kepada para penonton
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan.
Anda juga boleh menonton video daripada @altimatsaujana di bawah untuk memahami lebih lanjut cara yang dimaksudkan. Semoga bermanfaat.
Sumber: @altimatsaujana