Penyerang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo, mengecam media kerana “menipu” dalam laporan mengenai masa depannya yang didakwa ‘akan berakhir’ di Old Trafford tidak lama lagi, lapor eurosport.com.
Dalam komen yang dibalas terhadap peminatnya di Instagram, Ronaldo sebaliknya membidas media dan menegaskan bahawa perkara sebenar akan diketahui dalam dua minggu akan datang.
Komen itu dibuat beberapa jam selepas media melaporkan kononnya Ronaldo dibenarkan untuk meninggalkan Old Trafford pada bulan ini.
Dakwa laporan media itu, Ronaldo dibenarkan pergi sekiranya pengendali United, Erik Ten Hag memutuskan bahawa pemergiannya adalah demi kebaikan pasukan jika bintang Portugal itu sudah mempunyai destinasi yang sesuai.
“Media menipu, mereka (peminat) akan mengetahui perkara sebenar apabila temu bual diadakan dalam beberapa minggu.
“Saya mempunyai buku nota dalam beberapa bulan terakhir, daripada 100 berita yang saya catat, hanya lima yang betul.
“Bayangkanlah bagaimana keadaannya,” kata penyerang berusia 37 tahun itu.
Difahamkan, kegagalan United untuk menamatkan saingan liga di kelompok empat teratas menjadi punca Ronaldo mahu meninggalkan kelab itu ekoran The Red Devils tidak layak untuk beraksi di Liga Juara-Juara.
Sewaktu latihan pramusim United, Ronaldo menjadi isu hangat selepas dia tidak bersama pasukan itu atas alasan keluarga dengan keutamaannya adalah untuk meninggalkan kelab itu.
Tambahan lagi, dalam dua perlawanan pembukaan liga, United tewas kepada Brighton 1-2 di laman sendiri manakala dimalukan oleh Brentford dengan skor 0-4 baru-baru ini.
Dua kekalahan berturut-turut dialami United tersebut dipercayai menyebabkan kredibiliti pemain itu semakin menjadi ‘perbualan’ hangat peminat bola sepak.
Terdahulu, Cristiano Ronaldo menggemparkan dunia bola sepak apabila dia membuat keputusan meninggalkan Juventus dan kembali semula ke kelab lamanya, United pada 2021.
Ronaldo meninggalkan Old Trafford pada 2009 selepas berhijrah ke kelab Liga Sepanyol, Real Madrid seterusnya Juventus pada 2018 sebelum membuat penampilan semula ke United selepas 13 tahun.
Dia juga telah menjaringkan 24 gol dalam semua perlawanan bersama United sewaktu musim 2021/22 dengan merekodkan 18 gol liga dan enam gol dari Liga Juara-Juara.
Untuk perlawanan EPL seterusnya, United bakal menerima kunjungan musuh tradisi, Liverpool di Old Trafford pada 23 Ogos ini.
Sumber: Eurosport.com