McDonald’s akan melancarkan semula pembukaannya di bawah penjenamaan dan pemilikan baharu di Rusia pada hari Ahad, 12 Jun bersempena Hari Rusia yang merupakan percutian patriotik bagi meraikan kemerdekaan, lapor laman Mothership.
Menurut Bernama, McDonald’s Rusia bakal beroperasi dengan nama baharu yang dikenali sebagai Vkusno i Tochka.
Walau bagaimanapun, logo baharunya kelihatan seakan-akan menyerupai logo kepunyaan sebuah rangkaian makanan segera yang dikenali sebagai Mos Burger.
Logo baharu itu melambangkan isi daging lembu dan sebelahnya pula merupakan dua batang kentang goreng.

Pelancaran semula itu akan berlangsung di Dataran Pushkin Moscow di mana lokasi pembukaan McDonald’s pertama kalinya dibuka di Rusia pada Januari 1990.
Pada peringkat awal, pembukaan semula itu hanya akan meliputi 15 lokasi di Moscow dan wilayah sekitarnya.
Jenama baharu itu dilaporkan telah mengintai 1,000 lokasi di seluruh negara dan bersedia untuk membuka semula semua restoran rangkaian itu dalam masa dua bulan.
Pelancaran semula itu menandakan berakhirnya era yang menjangkau lebih tiga dekad selepas ketibaan rantaian makanan Barat di Rusia berikutan Perang Dingin.
Pada awal 1990-an, ketika Kesatuan Soviet runtuh, berjuta-juta rakyat Rusia telah berpeluang mencuba makanan dan budaya Amerika.
Keluarnya jenama itu kini menjadi simbol kuat bagaimana Rusia dan Barat sekali lagi membelakangkan satu sama lain.
McDonald’s pada Mei berkata ia menjual restorannya di Rusia kepada salah seorang pemegang lesen tempatan, Alexander Govor.
Penjualan itu disebabkan berlakunya pencerobohan ke atas Ukraine oleh Rusia pada 24 Februari 2022.
Gergasi makanan segera itu adalah antara berpuluh-puluh syarikat Barat, termasuk Coca-Cola, KFC dan Pizza Hut, yang berhenti menjalankan perniagaan di Rusia selepas perang bermula.
Latar belakang McDonald’s
McDonald’s telah memiliki 84 peratus daripada hampir 850 restorannya di seluruh Rusia.
Govor’s GiD LLC sebelum ini mempunyai 25 restoran.
McDonald’s pada 2021 menjana kira-kira 9 peratus, atau AS$2 bilion, daripada pendapatannya dari Rusia dan Ukraine.
McDonald’s dilaporkan mempunyai hak untuk membeli semula restorannya di Rusia dalam tempoh 15 tahun.
Sumber: Mothership.sg