
KUANTAN, 19 JUN 2023 – McDonald’s Malaysia telah menyumbangkan zakat korporat bagi tahun 2023 berjumlah RM100,000 kepada Pusat Kutipan Zakat Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Majlis pembayaran zakat korporat McDonald’s Malaysia ini menyaksikan Encik Azhar Darbi, Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman, McDonald’s Malaysia menyerahkan zakat korporat kepada Dr Haji Asmadi bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal Dan Operasi), MUIP. Sejak enam tahun lalu, McDonald’s Malaysia telah membayar sejumlah RM781,000 zakat korporat untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan di negeri Pahang.
Tahun ini memasuki tahun ke-7 McDonald’s Malaysia membuat pembayaran zakat korporat yang konsisten kepada semua negeri di Malaysia, seiring dengan kemajuan perniagaannya. McDonald’s Malaysia mula membayar zakat korporat sejak 2017, setelah diambil alih oleh sebuah syarikat perniagaan Islam – Lionhorn Pte. Ltd., yang merupakan sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi pada 1 Disember 2016.
Dalam majlis sama, McDonald’s Malaysia turut menyantuni 50 anak yatim dari Rumah Anak Yatim Akademi YASA-MUIP dan Rumah Anak Yatim Permata Al-Kauthar. Setiap daripada mereka menerima barangan keperluan sukan berupa sepasang kasut sukan dan beg.
“Selain pembayaran zakat korporat, McDonald’s Malaysia komited menjalankan pelbagai inisiatif kemasyarakatan lain demi mewujudkan impak positif dalam masyarakat. Di McDonald’s Malaysia, kami sentiasa komited untuk menyumbang balik dan mewujudkan impak positif yang berkekalan kepada komuniti di mana kami beroperasi,” tambah Azhar.
