KOTA BHARU, 31 Mac (Bernama) — Satu mayat ditemukan terapung berhampiran sempadan perairan Malaysia-Thailand pada jarak 101.7 batu nautika dari muara Tok Bali, semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan mayat tersebut oleh kapal pelantar minyak Express 81 sekitar jam 12.45 tengah hari.
Beliau berkata, aduan terus disalurkan kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan dan Kapal Maritim (KM) AMANAH telah ditugaskan untuk melaksanakan misi mengambil mayat tersebut di lokasi.
“Semasa ketibaan KM AMANAH, mayat telah dihanyutkan sejauh lebih kurang empat batu nautika daripada lokasi penemuan. Namun kapal pelantar minyak Express 81 telah membantu untuk memastikan mayat tidak hilang.
“Menurut kru Express 81, mayat tersebut dijumpai sekitar jam 9.45 pagi dan mengesyaki salah seorang mangsa daripada bot nelayan Vietnam yang karam minggu lepas, yang mana empat kru ditemui hanyut serta diselamatkan semalam dan kelmarin,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Muhd Nur Syam berkata mayat berjaya dibawa naik ke atas KM AMANAH pada lebih kurang jam 6.25 pagi tadi, dan dijangka tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan sekitar jam 8.30 malam ini.
“Mayat akan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk proses lanjut. Pengecaman terhadap mayat akan dilakukan oleh keempat-empat mangsa yang terselamat.
“Sekiranya mayat disahkan sebagai rakan mereka, perkara ini akan dimaklumkan kepada kedutaan Vietnam di Malaysia,” katanya.
— BERNAMA