CHUKAI, 8 Mei – Mayat remaja lelaki kurang upaya (OKU) pembelajaran yang lemas di Sungai Cerul, Rabu lepas, ditemui di kawasan Loji Rawatan Air Cerul, di Cheneh di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat mangsa Muhammad Al Hadi Samsuri, 13, ditemui pada pukul 11 pagi dalam keadaan mengalami pereputan awal dan tersangkut di kawasan belukar, di tebing sungai oleh pasukan penyelamat dan orang awam.
“Lokasi mayat mangsa ditemui adalah sembilan kilometer daripada tempat mangsa dikatakan tergelincir. Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurut Hanyan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada hari ketiga hari ini, melibatkan 45 orang anggota dari pelbagai agensi dengan menggunakan 10 buah bot.
Rabu lepas, Muhammad Al Hadi dilaporkan lemas selepas tergelincir ke dalam sungai dan hanyut dibawa arus, ketika mandi di tebing sungai bersama abangnya.
Sumber: Bernama