
BUTTERWORTH, 28 April (Bernama) — Mayat pemandu lori yang dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjunam ke dalam Sungai Perai dalam kejadian berhampiran sebuah kilang gula di Kampung Manis di sini malam tadi, ditemukan hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata mayat K. Palaniappan, 66, ditemukan pada kira-kira 11.20 pagi oleh pasukan mencari dan menyelamat tidak jauh dari lokasi lelaki itu dilaporkan terjatuh ke dalam sungai.
“Pihak bomba bersama polis marin membuat pencarian di dalam kawasan radius satu kilometer dari tebing sungai berkenaan sebelum mayat mangsa ditemukan dan dibawa naik ke darat sebelum dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Katanya operasi tersebut ditamatkan pada 11.36 pagi.
Kejadian lori tipper 10 tan yang dipandu mangsa terjunam ke dalam sungai tersebut dirakam oleh kamera litar tertutup di kawasan berkenaan.
Sumber: BERNAMA