
KUANTAN, 30 Dis (Bernama) — Seorang mekanik yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras sungai dua hari lepas, ditemukan maut, terdampar di atas batu di persisiran Sungai Benus, Bentong kira-kira 185 kilometer dari sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata mayat Tan Kok Meng, 59, ditemukan pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 11.20 pagi tadi kira-kira lima kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.
“Mangsa ditemukan terdampar di atas batu oleh pasukan penyelamat yang sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan tiada sebarang kesan kecederaan ditemui. Mayat itu kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Bentong untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Susulan penemuan mayat itu, beliau berkata operasi SAR bagi mengesan lelaki yang dilaporkan hilang di sungai berkenaan pada pukul 7.30 malam Isnin lepas, ditamatkan pada pukul 1.00 tengah hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan Tan dikatakan ke lokasi berkenaan bagi membantu rakannya mengikat tali di pokok yang terletak di tepi sungai bagi menggerakkan jentera penyedut pasir, dan semasa menyeberangi sungai dengan tali, mekanik itu dikatakan terus dihanyutkan arus deras.
— BERNAMA