Gambar sekadar hiasan

Mayat Dua Beradik Hilang Di Perairan Yan Ditemui

Sha Rossa

Alor Setar : Mayat dua beradik yang dikhuatiri hilang ketika keluar memancing di perairan Yan sejak Jumaat lepas ditemui petang ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata mayat Ng Gou Tong, 34, dan abangnya Ng Guo Xian, 44, ditemui terapung oleh sebuah bot nelayan yang sedang menangkap ikan di kawasan itu.

“Mayat kedua-dua mangsa ditemui pada pukul 2.45 petang pada jarak 15 batu nautika dari lokasi terakhir bot mereka dilihat.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada pukul 8.30 malam dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Yan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi mencari yang dimulakan pada Sabtu lepas melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan bantuan nelayan tempatan.

Pada Jumaat lepas, dua beradik itu yang berasal dari Yan dipercayai hilang selepas keluar memancing dari jeti nelayan Kuala Sala, Yan pukul 9.00 pagi.

Bagaimanapun, mereka berdua didapati tidak pulang ke rumah pada sebelah petang menyebabkan anggota keluarga membuat laporan polis.

Sumber : Bernama