GEORGE TOWN, 17 Dis (Bernama) — Seorang nelayan yang terjatuh dan hilang di laut dalam kejadian berdekatan Jeti Swettenham Pier, di sini dua hari lalu ditemukan lemas di kedudukan 2.3 batu nautika tenggara Pulau Tikus, dekat sini hari ini.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Pulau Pinang, Kapt Maritim Abd Razak Mohamed berkata mayat Khairul Azhar Mohamad, 32, ditemui terapung kira-kira pukul 8.00 pagi oleh nelayan sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk di bedah siasat manakala operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak nelayan itu dilaporkan terjatuh pada Selasa lepas, ditamatkan pada 9.45 pagi hari ini,” katanya di sini hari ini.
Selasa lepas, sebuah bot nelayan kelas A yang dinaiki lima nelayan termasuk seorang tekong terlanggar boya berdekatan Jeti Swettenham Pier di sini menyebabkan empat nelayan tercampak ke laut, manakala tekong dan seorang nelayan lagi masih di atas bot yang hampir karam itu.
Dalam kejadian pukul 2.20 petang itu, tiga daripada mereka yang tercampak ke laut berjaya diselamatkan namun mangsa yang berasal dari Kuala Muda, Kedah kali terakhir dilihat memakai baju berwarna biru dan berseluar hitam tanpa memakai jaket keselamatan, hilang selepas dia gagal ditarik naik ke bot nelayan berkenaan.
Sumber: BERNAMA