
Mayat Dalam Tangki Najis: Polis Sedang Kesan Lapan Suspek Rakan Serumah
SERI ISKANDAR, 21 Mei (Bernama) — Polis sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dipercayai mangsa bunuh dalam sebuah tangki najis, di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa.
“Kita telah kenal pasti (suspek) dan kita sekarang sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (Timbalan Pendakwa Raya) dan tindakan selanjutnya.
“Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa dan kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak Tahun 2023 di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah, Bota dekat sini malam tadi.
Pada 15 Mei, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa dipercayai telah melarikan diri, bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga Indonesia ditemukan maut dalam sebuah tangki najis dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di Kuala Kangsar.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob ketika itu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat lelaki tersebut yang dianggarkan berusia 40-an pada 12.20 tengah malam.
“Hasil siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat di dalam sebuah tangki najis yang terletak di bahagian belakang sebuah rumah dalam keadaan berkain sarung dan berseluar dalam tanpa baju.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada hari ini di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh mendapati punca kematian adalah disebabkan trauma dipukul objek tumpul di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.
BACA JUGA: Mayat Lelaki Dalam Tangki Najis, Polis Buru Suami Isteri
Sumber: BERNAMA