Mayat Bekas Anggota TLDM Ditemukan Di Perairan Omadal

Edayu

SEMPORNA, 10 Julai – Mayat bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Mabul di sini minggu lepas, ditemukan hari ini.

Mayat Mahmur Ajae, 45, ditemukan di perairan Pulau Omadal pada 11.30 pagi selepas seminggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan mengesahkan penemuan myat itu, ketika dihubungi hari ini.

“Kami menerima panggilan dari Pegawai Gerakan Pasukan Polis Marin (PPM) Semporna memaklumkan bot ronda PAC 58 menemukan satu mayat lelaki di timur laut Pulau Omadal.

“Mayat itu kemudian dibawa pulang sebelum ahli keluarga mengesahkan bahawa ia jasad mangsa berdasarkan pengecaman awal pada pakaian dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sabtu lepas, Mahmur dilaporkan hilang manakala rakannya selamat selepas bot mereka karam akibat dipukul ombak di perairan Pulau Mabul dekat sini.

Mangsa yang terselamat, Salimin Paludin, 44, sempat menghubungi abangnya untuk memaklumkan kepada pihak polis mengenai kejadian menimpa mereka kira-kira 7 pagi itu.

Kedua-dua mereka keluar memancing ketika kejadian itu.

Sumber: Bernama