Jangkitan fungi atau kulat merupakan penyakit yang biasa berlaku pada mana-mana bahagian badan yang lembap seperti rambut, kulit dan kuku.
Menurut MyHealth, keadaan kawasan yang panas dan lembab serta cara hidup yang tidak bersih seperti berkongsi tuala menjadi faktor yang menimbulkan risiko jangkitan kulat.
Jangkitan itu selalunya tidak berjangkit dan ia juga tidak membawa maut.
Bagaimanapun, tahukah anda bahawa jangkitan kulat ini juga telah mengubah hidup seorang lelaki di Kentucky, Amerika Syarikat ini apabila dia telah kehilangan wajahnya.
Digelar lelaki tanpa wajah
Digelar sebagai lelaki tanpa wajah, Mark Tatum menjadi perhatian dunia pada sekitar tahun 2000 setelah kehilangan mata, rahang atas dan hidungnya akibat daripada jangkitan kulat.
Seperti yang dinyatakan, jangkitan jenis itu tidaklah begitu luar biasa dan sering dihidapi oleh orang ramai, namun apa yang dialami Tatum itu sangat jarang berlaku.
Difahamkan, jangkitan itu berlaku selepas pekerja pembinaan merobohkan dinding di rumahnya yang telah tercemar dengan Stachybotrys Chartarum yang kebiasaannya dikenali sebagai acuan (mold) hitam.
Jangkitan kulat yang dipanggil Rhinocerebral Mucormycosis itu juga bertambah teruk akibat penyakit resdung yang dialami oleh lelaki itu.
Gambar Via RedditUntuk menyelamatkan nyawanya, doktor terpaksa mengeluarkan mata, hidung, rahang atas dan semua tulang serta tisu di sekililingnya.
Sejak itu, Tatum dianggap sebagai fenomena yang luar biasa kerana dia boleh bertahan hidup di luar jangkaan pakar perubatan. Dia bahkan memakai wajah prostetik untuk menjalani hidup seperti orang biasa.
Dengan keadaan yang jarang ditemui, Tatum mendapat perhatian di seluruh dunia dan pernah muncul dalam rancangan terkenal di AS seperti Ripley’s Believe It Or Not.
“Ia amat mengerikan, saya mengalami kesakitan di bahagian mata saya.
“Saya memberitahu isteri saya bahawa saya tidak tahu apa yang tidak kena tetapi saya perlu pergi ke hospital.
“Saya tidak tahu saya telah dijangkiti kulat di rumah saya,” katanya.
Tidak mendapat rawatan segera
Tatum juga berkata dia menjadi buta kerana tidak mendapat rawatan segera dan ia menyebabkan kulat masuk ke dalam saraf optik dan saluran otaknya.
Pada tahun 2002, ujian yang dijalankan di rumahnya mendapati bahawa terdapat kulat cladosporium, penicillium dan aspergillus.
Ia berkemungkinan besar menjadi faktor penyumbang kepada penyakit yang dialaminya.
Di samping itu, Tatum juga dilaporkan terpaksa memakan sehingga 15 jenis ubat sehari untuk melindungi mukanya dan bahagian kanan badannya yang lumpuh.
Gambar Via RedditKos ubat-ubatan dan bekalan pembersihan tambahan yang diperlukan untuk melindungi wajahnya adalah sebanyak $300 (RM1,269) sehari.
Walaupun berada dalam keadaan begitu, Tatum tetap bersemangat untuk meneruskan hidup dan sentiasa positif terhadap masa depannya.
Dia juga sentiasa mendapat sokongan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi dari isteri dan keluarganya.
Bagaimanapun, lelaki itu telah meninggal dunia pada 26 Februari 2005, kira-kira dua bulan selepas memakai wajah palsu.
Sumber: Moldhelp, 14 News, Daily News