Setelah sekian lama, akhirnya Masjidil Haram kembali sediakan semula juadah berbuka puasa kepada para jemaah.
Bermulanya hari pertama bulan Ramadan, ribuan umat Islam di Masjidil Haram yang menjalani ibadah puasa berpeluang kembali berbuka puasa secara berjemaah di perkarangan masjid.
Suasana berbuka puasa berjemaah atau ‘iftar jamaie’ itu kembali dihidupkan semula setelah terpaksa ditangguhkan selama kira-kira dua tahun akibat pandemik COVID-19 sebelum ini.
Rata-rata jemaah mengamalkan cara seperti terdahulu iaitu duduk beramai-ramai di tempat masing-masing sambil menunggu azan Maghrib serta ‘ketibaan’ juadah yang diedar daripada petugas masjid.
Menurut Arab News, jamuan berbuka puasa telah diperluaskan di dalam Masjidil Haram iaitu di tempat-tempat yang telah ditetapkan yang ‘mewujudkan’ kepelbagaian budaya yang berbeza-beza dari pelbagai bangsa.
“Badan-badan rasmi dan beberapa persatuan telah mengagihkan juadah berbuka puasa yang disertai jemaah, sukarelawan mengagihkan pelbagai jenis kurma dan air zamzam setiap hari.
“Dua orang presiden dari masjid suci ini telah memberi lebih daripada 2,000 ‘permit’ untuk menyediakan juadah berbuka puasa khusus yang diedarkan di bawah garis panduan Covid-19.
“Mereka juga melarang penggunaan cawan plastik untuk minuman panas dan pengedarannya hanya di koridor dan pintu masuk.
“Sebilangan jemaah memuji penyediaan semula hidangan berbuka yang sebelum ini telah terhenti selama lebih kurang dua tahun,” lapor Arab News.
Gambar: SPA via Arab NewsTerdahulu, Kementerian Kesihatan Arab Saudi mengumumkan untuk mansuh semua sekatan COVID-19, termasuk kuarantin wajib bagi semua pengunjung ke negara itu.
Menerusi catatan di akaun Twitter rasminya pada Isnin, sekatan yang dimansuhkan termasuk penyerahan sijil vaksinasi COVID-19 dan ujian PCR, sebelum atau semasa ketibaan di Arab Saudi.
Langkah itu diambil susulan penurunan kes dan kadar vaksinasi mencapai 99 peratus untuk semua penduduk berumur 12 tahun ke atas.
Pada laporan sebelum ini, Arab Saudi tidak lagi mewajibkan pelancong menjalani kuarantin wajib COVID-19 sebaik tiba di sana dan penumpang juga tidak perlu lagi menyediakan ujian PCR semasa ketibaan mereka.
Penjarakan sosial di dua masjid suci dan semua masjid dalam kerajaan negara itu turut ditamatkan. Walau bagaimanapun, jemaah masih perlu memakai pelitup muka.
BACA JUGA: Arab Saudi Mansuh Semua Sekatan COVID-19
Sumber: Arab News